FAZURA terharu konsert anjurannya dihadiri lebih 7,000 peminat. FOTO Echoliapictures
FAZURA terharu konsert anjurannya dihadiri lebih 7,000 peminat. FOTO Echoliapictures
Ridzuan Abdul Rahman

Bukan biasa-biasa sebaliknya terlalu luar biasa. Itu kesimpulan apabila melihat kejayaan penganjuran Faztival Fazura yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini.

Sejarah baharu dilakar pelakon dan usahawan, Nur Fazura apabila penganjuran konsert mega, Faztival Fazura 2022 menggamit lebih 7,000 penonton yang hadir memberikan sokongan.

Lebih mengagumkan, Fazura yang lebih terarah kepada lakonan berbanding nyanyian, berjaya menghimpunkan nama besar untuk berkongsi pentas menghiburkan peminatnya.

Amat ketara selepas dua tahun berkurung dalam rumah, khalayak peminat yang hadir begitu dahagakan persembahan hebat dari artis popular dan antarabangsa ini.

Tepat pada jam 8.30 malam, suami Fazura iaitu Fattah Amin tampil atas pentas mengalunkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Memandangkan pada malam sama berlangsung Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23), Datuk M Nasir ditampilkan sebagai penyanyi pertama kerana terpaksa bergegas ke majlis terbabit selepas persembahannya berakhir.

Menerusi pengalaman luasnya, sifu tampil bertenaga mendendangkan rangkaian lagu popular yang menjadi ikon dan trademark iaitu Suatu Masa, Tanya Sama Itu Hud Hud dan Mentera Semerah Padi.

Ketika nyanyian Suatu Masa, layar kaca dibelakang pentas terpampang gambar kenangan Fazura bersama Allahyarham ayahnya, Sharifuddin Adna sekali gus membuatkan peminat tersentuh.

Suasana bagaimanapun kembali meriah apabila lagu Mentera Semerah Padi diiringi persembahan silat daripada Fattah, sekali gus mengingatkan kehebatan aksinya menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Seperti M Nasir, ratu rock Ella turut terbabit dengan AIM23 dan ditampilkan sebagai penyanyi kedua.

Dia berjaya mengajak peminat untuk kembali kepada era kegemilangan muzik rock pada era 1990-an menerusi lagu Dua Insan Bercinta, Sembilu, Retak dan Kesal.

"Apa khabar semua. Ella rasa happy dapat bersama anda di sini," katanya yang kekal dengan gaya manjanya.

Giliran penyanyi meningkat naik, Amir Masdi menghiburkan peminat menerusi lagu Asmara, Esok dan Kau Sakiti.

Sebahagian besar penonton terutama muda remaja amat teruja apabila turut sama menyanyi bersama Amir.

Konsep persembahan diseimbangkan antara komersial dan ketuhanan. Justeru Zizi Kirana tampil selepas itu dengan lagu Purnama berduet dengan Fakhrul Unic.

Dia seterusnya menyampaikan lagu popularnya Eh dan lagu baharu berjudul Pijak.

Antara tarikan konsert ini ialah penampilan kumpulan RUFFEDGE yang mencetus fenomena pada era 2000.

Mereka ternyata menggegarkan Axiata Arena dengan lagu popular, Tipah Tertipu, Bila Rindu dan Khayalan. Kelihatannya mereka mempunyai karisma tersendiri sebagai penghibur.

"Bila lama tak perform ada satu perasaan iaitu rindu," kata mereka.

Ippo Hafiz yang terkenal dengan lagu runut bunyi (OST) untuk beberapa drama rantaian juga tidak kurang hebatnya. Dia mendendangkan Seadanya Aku serta rangkaian Rahsia Redha/Ku Takkan Mampu dan Kekal Bahagia.

Datuk Awie yang dikenali dengan 'showmanship' bertenaga dan mantap, tampil dengan lagu Penjara Janji, Terima Kasih dan Layang-layang Terputus Talinya yang pernah dirakam kembali dalam album solonya.

Tidak syak lagi dia adalah antara penyanyi yang hebat dan kekal bertahan di industri seni tanah air serta sukar digugat.

Mulan Jameela yang kini sudah 'berhijrah' menghiburkan penonton dengan lagunya Makhluk Tuhan Paling Seksi, Wonderwoman dan lagu popular Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid iaitu Sinaran.

"Malam ini sangat istimewa kerana saya bertemu teman-teman. Hanya Fazura yang bisa (boleh) bikin acara seperti ini. Buat acara yang menggabungkan artis Malaysia dan Indonesia," katanya disambut tepukan bergemuruh penonton.

AHMAD Dhani mengiringi persembahan Fazura. FOTO Echoliapictures
AHMAD Dhani mengiringi persembahan Fazura. FOTO Echoliapictures

Ahmad Dhani muncul dengan Ahmad Band sebagai penyanyi terakhir. Dia mengiringi persembahan Fazura menyanyikan rangkaian lagu Sayangi Dirimu, Bisa Apa, Hancur Aku dan Jika Cinta Allah dengan petikan gitar.

Ahmad Band menutup konsert selama kira-kira tiga jam ini dengan mendendangkan enam lagu iaitu Od, Distorsi, Sudah, Bidadari Kesunyian, Aku Cinta Kau & Dia dan Madu 3.

Fazura melahirkan perasaan terharu dengan sambutan luar biasa terhadap konsert sulung Faztival Fazura dan berharap dapat menjadikannya sebagai acara tahunan.

"Alhamdullillah saya bersyukur kerana konsert ini mendapat sambutan luar biasa, dan tidak menyangka mampu mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records," katanya.

Konsert Faztival Fazura 2022 mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dengan penciptaan dua rekod baharu peringkat kebangsaan iaitu The Largest 'Tudung Fazura' Gathering in an Event, dan The Largest Tudung Bawal in Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 12:41 PM