Kuala Lumpur: Hantaran pelakon, Nora Danish di Instagramnya penuh dengan emosi ketika menghantar anak sulung, Putra Rayqal Ramli ke sekolah berasrama penuh, Kolej Tuanku Ja'afar (KTJ).

Dalam hantarannya di 'feed' dan Instagram Story, Nora tidak dapat menahan air matanya untuk berpisah dengan anak sulung kesayangannya itu.

"Ini baru sekolah yang tak jauh dari rumah. Macam manalah kalau hantar anak-anak jauh kan, pergi London semua. Saya memang tak boleh," katanya.

Dalam salah satu video yang dimuat naik, Nora menggenggam erat tangan anaknya ketika berada di dalam kereta.

"Saya tak nak balik! Boleh tak saya nak bekerja di sini," tulisnya dalam video yang menunjukkan dia agak sibuk menguruskan beberapa barang keperluan anaknya di kolej itu.

Dalam satu video lain, Nora memeluk erat Rayqal dan menangis teresak-esak.

Selain Nora, Rayqal turut dihantar oleh bapanya, Rizal Ramli serta bapa tirinya, Nedim Nazri.

Rayqal adalah anak hasil perkahwinan pertama Nora bersama Rizal pada 20 Jun 2006 sebelum bercerai pada awal Julai 2008.

Nora kemudian berkahwin dengan suaminya, Nedim pada 30 Mac 2017 dan mereka dikurniakan cahaya mata, Mohamed Neqayl Nedim atau Ney Ney, kini berusia tiga tahun.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 10:51 PM