Pelakon Noorkhiriah. FOTO NSTP
Pelakon Noorkhiriah. FOTO NSTP
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie mendedahkan karier seninya pada tahun ini agak mencabar apabila sudah hampir enam bulan tiada tawaran lakonan.

Noorkhiriah, 45, berkata, sepanjang tempoh itu terdapat produksi yang menghubungi bertanyakan jadual seninya, namun ada yang senyap tanpa khabar berita.

"Tahun ini agak mencabar untuk saya dan rakan-rakan lain. Hampir enam bulan saya tiada tawaran lakonan.

"Memang ada yang bertanya mengenai jadual seni saya, tapi tiba-tiba tak jadi pula nak tawarkan saya berlakon.

"Tapi apabila fikir daripada sudut positif saya anggap setiap yang berlaku ini pasti ada hikmah disebaliknya. Mungkin Tuhan nak saya luangkan masa bersama anak-anak dan suami," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Gadis Felai terbitan Teguh Setanding Sdn Bhd, PT Sinemart dan Sheunik Sdn Bhd.

Menurut Noorkhiriah, sikap memberi harapan palsu terutama kepada pelakon senior bukan satu budaya yang baik kerana bukan mudah untuk mereka mencari rezeki dalam bidang itu.

"Saya ingin mohon maaf sebelum saya nak bercakap mengenai isu ini. Sejujurnya saya tak suka budaya ini sebab ia seolah-olah memberi harapan kepada pelakon.

"Malah kalau bercinta pun kita sudah beritahu pasangan supaya jangan memberi sebarang janji sehingga tiba-tiba hubungan itu berakhir. Jadi sama dengan situasi ini.

"Dunia seni ini adalah darah daging saya. Kalau memang saya tiada dalam senarai pelakon, cakap saja tiada. Kalau ada maklumkan.

"Walaupun bercakap jujur itu menyakitkan, tapi sekurang-kurangnya lebih baik daripada menipu," katanya.

Dalam masa sama, Noorkhiriah mengingatkan syarikat produksi supaya berhenti memberi harapan terutama kepada pelakon veteran yang mencintai kerjaya ini.

"Saya pernah diminta bagi beberapa tarikh untuk penggambaran, tapi bila dah bagi tarikh tiba-tiba mereka minta maaf beritahu nama saya tak lepas untuk projek itu. Bukankah itu sudah beri harapan.

"Mewakili semua kalau boleh jangan buat begitu. Saya tahu rezeki ini Allah yang beri, tapi jangan bermain tarik tali sebab ia amat menyakitkan.

"Kadangkala saya tersepit dengan situasi begini. Tapi nak tinggalkan kerjaya ini tak mudah sebab saya dah sayang," katanya.

Selepas melalui fasa sukar selama enam bulan, Noorkhiriah bagaimanapun bersyukur apabila dia akhirnya bakal terbabit dengan filem Gadis Felai bermula hari ini.

Selain Noorkhiriah, filem itu turut menampilkan pelakon dari Malaysia dan Indonesia seperti Isyariana, Tsania Marwa, Renaldy Putra Ramadana, Azrel Ismail, Zaryn Min dan ramai lagi.

Filem Gadis Felai dijangka menemui penonton di pawagam tahun depan mendapat sentuhan daripada pengarah Zamri Zakaria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 2:16 PM