Datuk Aishah (kiri). Allahyarham Tia Jinbara (kanan),
Datuk Aishah (kiri). Allahyarham Tia Jinbara (kanan),

Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Aishah, 58, menyifatkan bekas vokalis Jinbara, Allahyarham Tia sebagai seorang yang baik dan selalu tenang selama mengenali lelaki itu pada 2017 lalu.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Arifin mengimbau semula kenangan itu selepas mendapat perkhabaran mengenai Tia Jinbara yang disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam (HSA), jam 9.17 semalam akibat barah hati.

Menerusi hantaran dikongsi di Instagram miliknya, Aishah sedih apabila mengenangkan begitu ramai insan yang dikenalinya pergi menghadap Sang Pencipta pada tahun ini.

"Perkhabaran duka, kembalinya Tia Jinbara kepada Penciptanya. Seorang yang baik dan selalu tenang sepanjang perkenalan kami ketika menyertai Gegar Vaganza 4 (GV4) dulu.

"Banyak kenangan di belakang pentas duduk bersama-sama pasangan masing-masing ketika itu menunggu giliran," tulisnya mengimbau kenangan.

Perkongsian luahan kesedihan juara GV4 itu mendapat maklum balas netizen di media sosial, dengan rata-rata menulis komen positif dan menitipkan doa buat Allahyarham Tia, 53.

Masa berlalu begitu cepat, giliran kita akan menjelang juga. Semoga rohnya berada di kalangan orang2 yang beriman. Salam takziah dari kami. Al Fatihah," katanya.

Terdahulu, arwah Tia yang mendirikan rumah tangga bersama Suzan Ahmad yang juga bekas wartawan Berita Harian pada Mei 2009 itu, dimasukkan ke Hospital Shah Alam pada Rabu lalu apabila mengadu sakit perut. Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan yang terakhir, CT Scan, barulah doktor mengesahkan ada ketumbuhan pada hati iaitu barah.

Allahyarham Tia atau nama sebenarnya, Shamsul Bakhtiar Zakaria dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kota Raja, Klang pada jam 10.03 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 4:30 PM