Pelakon filem Mar Rak. Foto Genes Gulitah
Pelakon filem Mar Rak. Foto Genes Gulitah
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon baharu, Shatirah Amanda, 23, enggan bersikap hipokrit sekali gus selesa dengan imej seksi yang digayakannya.

Mengakui menerima pelbagai kecaman dan komen lucah, Amanda bagaimanapun tidak mengambil peduli terhadap individu yang suka mencari kesalahan orang lain.

"Saya cuma sekadar menjadi diri sendiri dan selesa menggayakan apa sahaja imej yang dirasakan sesuai dan disukai. Bagi saya seksi itu subjektif.

"Setiap orang memiliki pandangan yang berbeza-beza. Pada saya apa yang saya gayakan itu biasa sahaja, namun seksi untuk segelintir orang. Nak kata saya berpakaian mencolok mata, tidak pula sebab saya masih menjaga batas dalam berpakaian dan tidak keterlaluan," katanya ketika ditemui pada sidang media Tayangan Perdana filem Mar Rak arahan Datuk TS Jeffry di sini, semalam.

Menurut Amanda, dia mengakui penampilan seksi yang digayakan turut dijadikan sebagai modal untuk segelintir lelaki berimaginasi kotor di ruangan komen media sosial miliknya.

"Saya tak boleh mengawal mulut orang sebab media sosial ini terbuka dan sesiapa sahaja boleh melontarkan komen. Terpulang apa mereka nak cakap asalkan saya suka dan tak kacau orang.

"Apa orang nak cakap dipersilakan kerana apa yang penting saya tak hipokrit. Saya akui memang saya baca komen-komen itu namun tak layan.

"Sebenarnya, kalau nak cakap begitu, orang yang berpakaian tutup aurat pun akan ada individu yang berfikiran kotor seperti nak tahu bentuk tubuh seseorang wanita itu.

"Jadi saya nak cakap di sini, nak tutup mulut orang atau apa yang orang fikir tak mudah. Saya nak bersuara pun siapalah saya. Jadi saya tak perlu tahu orang fikir apa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amanda mengaku teruja untuk menantikan maklum balas penonton untuk karya pertama lakonannya dalam filem berjudul Mar Rak yang akan mula ditayangkan pada 2 November ini.

Selain Amanda, Mar Rak turut dibintangi oleh Kael, Nina KSC dan Dyvianna James.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 2:18 PM