DEKAN Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR) UiTM Shah Alam, Prof Mohd Anizu Mohd Nor (dua kanan) ceria sambil memegang pingat dimenangi Mohamad Aniq Kasdan (tengah) sambil diperhatikan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazir Najib dan pensyarah kanan FSSR UiTM, Mohd Sadek Mustafa di sebuah hotel di Birmingham. FOTO Amirullah Andi Nur
DEKAN Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR) UiTM Shah Alam, Prof Mohd Anizu Mohd Nor (dua kanan) ceria sambil memegang pingat dimenangi Mohamad Aniq Kasdan (tengah) sambil diperhatikan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazir Najib dan pensyarah kanan FSSR UiTM, Mohd Sadek Mustafa di sebuah hotel di Birmingham. FOTO Amirullah Andi Nur
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberikan penghargaan kepada pemenang pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini, Mohamad Aniq Kasdan.

Ia disampaikan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR) UiTM Shah Alam, Prof Mohd Anizu Mohd Nor yang mewakili Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor di sebuah hotel di National Exhibition Center (NEC).

Aniq, 20, adalah pelajar diploma pengurusan sukan Pengajian Luar Kampus, FSSR yang dianjurkan dengan kerjasama pintar Majlis Sukan Negeri Johor. Beliau adalah antara pelajar sulong program ini.

"Naib Canselor UiTM sangat berbangga dengan kejayaan Aniq ini kerana ia bukan saja mengharumkan nama negara, malah UiTM sendiri.

"Ini sesuai dengan inspirasi UiTM untuk menjadi universiti terkemuka di dunia bukan sahaja dalam akademik, malah dalam kecemerlangan sukan.

"UiTM ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) Majlis Sukan Negeri Johor atas kejayaan luar biasa Mohamad Aniq ini," kata Mohd Anizu selepas majlis berkenaan di sini.

Hadir sama MOM, Datuk Nazir Najib dan pensyarah kanan FSSR UiTM, Mohd Sadek Mustafa.

Aniq dan seorang lagi atlet angkat berat, Muhamad Aznil Bidin, 28, mencipta sensasi buat negara semalam apabila masing-masing memenangi emas pada temasya Sukan Komanwel 2022 di sini.

Aniq menjuarai kategori 55 kilogram (kg) manakala Aznil yang juga juara bertahan bagi kategori 61kg.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 6:50 PM