Tom bakal timang anak perempuan.
Tom bakal timang anak perempuan.

Kuala Lumpur: Selepas dikurniakan tiga cahaya mata lelaki, akhirnya impian penyanyi Tom yang kini hamil lima bulan untuk menimang zuriat perempuan menjadi kenyataan.

Berita gembira itu diumumkan Tom selepas membuat pemeriksaan di sebuah klinik semalam.

" Ya Allah syukur ya Allah. 90 peratus ujian imbasan jantina mendapati saya bakal dikurniakan anak perempuan.

"Akhirnya dapat juga merasa anak perempuan," katanya dalam satu hantaran di Instagram Story.

Menerusi video yang dimuat naik, Tom meraikan detik bahagia itu disamping suami tercinta yang juga penyanyi Fuad Rahman serta anak-anaknya.

Malah Tom menitiskan air mata sewaktu mengetahui jantina anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Sebelum berkongsi berita itu, Tom mengaku  gementar menanti keputusan imbasan jantina itu memandangkan ini adalah peluang terakhir untuk memiliki anak perempuan.

"Gementar sangat-sangat… dah ada tiga anak lelaki. Adakah aku dapat merasa nak ada anak perempuan dalam hidup aku?

"Ini anak terakhir… tapi apa pun aku terima walaupun ditakdirkan anak lelaki lagi. Bismillah," tulisnya.

Untuk rekod, Tom dan Fuad bernikah pada 26 Februari lalu di Batam, Indonesia.

Tom sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai tiga orang cahaya mata lelaki.

Manakala Fuad pula memiliki dua orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama sebelum ini. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 5:03 PM