Dari segi komersial, nama kumpulan ini memang sudah tidak kena. Pasti ramai yang skeptikal terhadap band yang menggelarkan diri mereka sebagai Sekumpulan Orang Gila.

Bagaimanapun, saya percaya Sekumpulan Orang Gila atau lebih mudah dipanggil sebagai SOG lebih mementingkan muzik yang mereka bawa, bukannya nama mereka.

Gila di sini mungkin bukan bermaksud orang gila atau sewel, tetapi lebih kepada yang positif. Mungkin mereka 'gila' menghasilkan muzik lain daripada yang lain. Pastinya kreativiti menjadi keutamaan SOG.

Selepas lebih 10 tahun ditubuhkan dan semakin dikenali dalam kalangan peminat dan penggiat muzik di arena indipendant, SOG tampil dengan album sulung berjudul Bahtera.

Berbicara mengenai muzik, SOG mengetengahkan kepelbagaian dalam album ini. Memilih metal sebagai tunjang muzik mereka, tetapi SOG tidak terikat dengan satu genre metal sebaliknya ia diadun dan digubah dengan pelbagai gaya dari segi teknik vokal dan gaya muziknya.

Dalam sesetengah lagu, penyanyi mereka iaitu Riko dan Nazrin (yang juga bermain gitar) menampilkan vokal 'growling' tetapi diadun dengan muzik metal moden.

Pada masa sama, SOG tidak meninggalkan elemen muzik Melayu dengan bunyian biola dan gendang seperti dalam lagu Restu.

Malah, kebanyakan lirik lagunya juga berunsur kemelayuan. Malah, mereka turut menggunakan khidmat Datuk M Nasir sebagai penulis lirik lagu Sumpah Pendekar.

Selain Restu dan Sumpah Pendekar, album ini turut memuatkan lagu seperti Garisan Sartan, Amat Mudah Untuk Hanyut Dibawa Arus, Mati, Hantu, Kitalah Juara, Kau Sempurna, Misteri Bertari, Warta Lama, Sebelum Pergi Aku Ingin Kembali, Saudara Sahabat, Hentikan dan Bahtera.

INFO

ARTIS: Sekumpulan Orang Gila (SOG)

ALBUM: Bahteras

TERBITAN/EDARAN: SOG Production

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:00 AM