ZAITON bukan tidak lagi aktif menyanyi tetapi tawaran diberikan ada tidak masuk akal. FOTO Zunnur Al Shafiq
ZAITON bukan tidak lagi aktif menyanyi tetapi tawaran diberikan ada tidak masuk akal. FOTO Zunnur Al Shafiq
Najiy Jefri


BUKAN tiada tawaran nyanyian sebaliknya penyanyi Zaiton Sameon memilih untuk berniaga ‘Rendang Nasib’ sebagai punca pendapatan sampingan.

Kata wanita berusia 62 tahun itu, dia tidak suka meraih simpati atau meminta pertolongan orang selagi ada kudrat untuk bekerja.

Meskipun ada yang mengata dirinya sudah tidak laku, Zaiton tidak mengambil pusing perkara itu asalkan pekerjaan yang dibuat halal.

“Ada yang mengata saya sudah tidak laku lagi selepas berniaga rendang di media sosial.

“Namun, saya langsung tidak berkecil hati atau marah kerana rezeki bertambah murah dan Rendang Nasib Dari Dapur Zaiton Sameon tetap laris hingga mendapat permintaan di Singapura,” katanya.

Zaiton berkata, dia bukan tidak lagi aktif menyanyi tetapi tawaran yang diberikan ada kalanya tidak masuk akal.

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Menaruh Harapan itu memberitahu pernah ditawarkan bayaran RM1,500 untuk menjayakan sebuah persembahan di Johor Bahru.

“Saya kecewa apabila ada pihak sanggup mengambil kesempatan terhadap penyanyi veteran seperti saya. Bayaran yang diberikan tidak berbaloi dengan hasil kerja.

“Bayangkan dengan bayaran bernilai RM1,500 saya perlu ke luar daerah. Duit minyak dan tol satu hal, macam mana dengan baju, solekan dan penginapan di sana? Semuanya bukan percuma.

“Jadi, janganlah ambil kesempatan. Saya pernah dibayar berpuluh ribu ringgit dulu tetapi sekarang nak dapat ribuan ringgit pun susah,” katanya.

ZAITON bersama 30 selebriti membuka gerai jualan ketika Majlis Perasmian Al-Waqar Travel Sdn Bhd, baru-baru ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
ZAITON bersama 30 selebriti membuka gerai jualan ketika Majlis Perasmian Al-Waqar Travel Sdn Bhd, baru-baru ini. FOTO Zunnur Al Shafiq

Bercerita mengenai perniagaan rendang yang diusahakan, Zaiton berkata, dia menjual rendang ayam, daging, rendang campur dan daging dendeng.

“Saya akan masak sekurang-kurangnya 40 hingga 90 kilogram mengikut permintaan. Saya akan bangun seawal jam 3 pagi untuk menyiapkan tempahan.

“Bagaimanapun, saya hanya berniaga tiga atau empat hari seminggu. Saya bersyukur permintaan amat menggalakkan,” katanya.

Sementara itu, Zaiton mengaku masih didekati ramai lelaki termasuk golongan kenamaan namun dia tidak berminat untuk berkahwin lagi.

“Walaupun ada lelaki bergelar Datuk cuba pikat, saya tidak berminat kerana sudah serik bercinta dengan golongan kenamaan.

“Namun, kalau sudah tertulis jodoh saya reda dan tidak menolak. Buat masa ini saya lebih selesa hidup sendiri,” katanya yang sudah 37 tahun hidup bersendirian.

Menurut Zaiton, seandainya pintu hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga, biarlah jodohnya itu nanti bertanggungjawab dan boleh membimbingnya.

“Kalau boleh saya nak lelaki yang boleh membimbing saya menjadi insan yang lebih baik dan menjalani kehidupan bahagia hingga akhir hayat.

“Persoalannya, masih ada lagikah orang mahu wanita tua seperti saya?,” katanya.

Terdahulu, penyanyi Menaruh Harapan itu pernah mendirikan rumah tangga dua kali tetapi berakhir dengan perceraian.

Dia juga mempunyai seorang cahaya mata lelaki namun meninggal dunia selepas mereka terbabit kemalangan jalan raya pada 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 12:30 PM