AZHAN mahu mencuba karakter berbeza. FOTO Aziah Azmee
AZHAN mahu mencuba karakter berbeza. FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal


MESKIPUN namanya cukup sinonim dengan watak antagonis, pelakon berpengalaman, Azhan Rani mengakui dia mahu mencuba pelbagai karakter berbeza untuk memberi variasi dalam lakonannya.

Menurut Azhan atau nama sebenar, Azhan Abdul Rani, 47, dia sukar menolak bila ditawarkan watak antagonis kerana menganggap ia kepercayaan diberikan pengarah padanya.

"Bila diberi watak antagonis terutamanya banyak dalam projek filem, saya terima sahaja kerana anggap ia rezeki dan penghargaan pada saya.

"Jika diberi pilihan saya pun mahu watak berbeza dalam lakonan.

"Namun sebagai pelakon, saya perlu jalankan tanggungjawab yang diamanahkan walaupun sering ditawarkan watak sama," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon yang dikenali dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur ini berkata, ada kalanya dia dapat peluang menolak watak antagonis yang klise dalam drama.

"Contohnya, dalam drama Nur, hasil perbincangan dengan pengarah, kita ubah sedikit watak ustaz yang jahat kepada 'gila' atau 'badut' untuk kelainan," katanya.

Mengulas lakonannya dalam filem Tebus arahan Jason Chong, kata Azhan, dia menerima tawaran berlakon dalam filem itu kerana membabitkan penggambaran di Kuching, Sarawak.

"Sebagai bekas penuntut dan alumni Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), saya harap filem ini cara untuk saya 'beri semula' pada pihak universiti.

"Saya ada ramai rakan di sana dan mereka harap dapat tengok negeri Sarawak dalam filem lakonan," katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Drama dan Teater di Unimas pada 2001.

PEGANG watak antagonis dalam filem terbaharu Tebus The Movie. FOTO Aziah Azmee
PEGANG watak antagonis dalam filem terbaharu Tebus The Movie. FOTO Aziah Azmee

Dari segi lakonan pula, kata Azhan, dia menyerahkan pada penonton untuk menilai lakonannya dalam filem itu.

"Saya melakonkan watak Bakar yang juga karakter antagonis dalam filem Tebus dan serahkan pada penonton untuk menilai hasilnya," katanya.

Tebus The Movie diterajui barisan pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Ahirine Ahirudin,Idan Aedan, Jay Iswazir dan Marissa Yasmin kini boleh ditonton menerusi platform penstriman Prime Video.

Beralih sisi peribadinya pula, kata Azhan, hidupnya tidak sunyi walaupun masih belum berkahwin pada usia 47 tahun.

"Selain karier seni, saya mengisi masa dengan pelbagai aktiviti serta hobi mendaki gunung.

"Saya ada membela empat ekor kucing dan ibu yang setia menemani di rumah," katanya.

Ditanya jika ada wanita yang cuba mendekati, Azhan berkata, memang ada wanita yang menghantar 'direct message' (DM) mahu berkenalan serta ada yang mengajaknya berkahwin di lam

an Instagram (IG) sebelum ini.

"Sebenarnya, saya berasa takut untuk berkenalan dengan wanita dikenali di media sosial terutama yang ajak kahwin walaupun baru kenal di IG kerana pernah kena 'scam' (tipu) pasal duit dulu.

"Pada masa sama, saya bimbang bila berjumpa wanita itu nanti, wajah mereka lain serta tidak sama seperti dipaparkan di media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 6:07 AM