MICHELLE Yeoh
MICHELLE Yeoh
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, bakal menjadi ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) selepas disenaraikan dalam senarai lapan ahli baharu yang dicadangkan di Berlin, Jerman, semalam.

Cadangan keahlian IOC Yeoh yang memenangi Oscar untuk trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem Everything Everywhere All at Once itu akan disahkan pada sesinya di Mumbai, India bulan depan.

Selain Yeoh, ialah pemenang pingat Olimpik pertama Israel, Yael Arad; ahli perniagaan dan pentadbir sukan Hungary, Balasz Furjes; pemenang pingat Olimpik dan ahli politik dari Peru, Cecilia Roxana Tait Villacorta dan usahawan sukan Jerman, Michael Mronz sebagai lima ahli individu yang dicadangkan oleh Lembaga Eksekutif IOC.

Tidak ketinggalan, Petra Soerling dari Sweden, Ketua Persekutuan Pingpong Antarabangsa dan Korea Selatan, Kim Jae-youl, Presiden Kesatuan Luncur-Luncur Antarabangsa dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Tunisia, Mehrez Boussayene juga akan dipilih sebagai ahli.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Presiden IOC, Thomas Bach berkata, semua calon-calon itu akan membawa nilai tambah kepada kerja IOC kerana pengalaman dan kepakaran yang pelbagai dalam bidang kehidupan.

"Apa yang mereka semua mempunyai persamaan ialah kecintaan mereka pada bidang sukan dan kepercayaan kuat mereka terhadap nilai Olimpik dan maksud IOC.

"Visi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa adalah untuk membina dunia yang lebih baik melalui sukan," katanya.

Yeoh melakar kejayaan di Hollywood apabila dia melakonkan watak gadis Bond dalam filem Tomorrow Never Dies berganding dengan Pierce Brosnan pada 1997.

Antara filem hebat lakonannya ialah genre aksi Crouching Tiger Hidden Dragon, Memoirs Of A Geisha dan genre komedi romantik, Crazy Rich Asians pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 5:48 PM