Ras Adiba Radzi.
Ras Adiba Radzi.
Najiy Jefri


"Dia masih hidup," kata bekas penyampai berita TV3, Datuk Ras Adiba Radzi mengenai gambar tular kononnya pembaca berita Nightline, Raymond Goh atau nama Islamnya, Mohd Zaman Goh sudah meninggal dunia.

Ras Adiba ketika dihubungi berkata, Raymond masih menerima rawatan di hospital dan berita mengenai dia meninggal dunia yang bertebaran itu adalah tidak benar.

"Info (maklumat) itu tidak benar. Malam ini pun saya ada mengaturkan bacaan Yasin secara dalam talian untuk kesejahteraan sahabat saya.

"Untuk makluman pasukan Nigthline TV3 kini turut bergilir di hospital memantau dan menjaga beliau sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Bagaimanapun menurut seorang sumber kepada Harian Metro, Raymond kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Semalam, Ras Adiba menerusi perkongsian di Instagram percaya sahabatnya itu kuat dalam menempuh ujian yang berlaku.

"Kami tidak akan berhenti berdoa. Kuatkan semangatmu Raymond. Kami tahu kamu mampu mendengar suara-suara kami.

"Ketahuilah bahawa rakyat Malaysia mendoakanmu. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tuhan sekalian alam, kami pohon engkau kejutkanlah sahabat kami ini dari lenanya.

Kami pohon padamu, Tuhan Yang Maha Esa. Hanya padaMu, kami berserah," katanya.

Terdahulu, penyampai berita itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan kini sedang menerima rawatan selepas dimasukkan ke hospital di Petaling Jaya pada 30 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 4:43 PM