AYU Puteh.
AYU Puteh.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penerbit Datuk Ayu Puteh sudah empat hari ditahan di hospital selepas djangkiti Influenza A serta mendapat serangan panik sehingga rebah di kediamannya baru-baru ini

Ayu atau nama sebenarnya Normashayu Puteh, 47, berkata demam dialaminya baru surut hari ini namun badannya masih lemah dan perlu dimasukkan air glukosa. 

"Saya cuma ingat sudah berada dalam ambulan selepas rebah di rumah tempoh hari. Tiga hari suhu badan saya berada pada bacaan lebih 38 darjah celsius dan memang terbaring saja.

"Alhamdulillah hari ini demam sudah surut tapi masih belum cukup bertenaga. Saya cuma mampu bangun untuk ke tandas dan selebihnya memang baring sepanjang masa. Kepala pun rasa asyik melayang," katanya.

Ayu mengakui tekanan menjadi faktor dirinya jatuh sakit. Katanya, selama ini dia memang jarang sakit tapi akhirnya tewas kerana terlalu banyak hal difikirkannya.

"Saya ingat demam biasa dan cuma ambil panadol, air badak, serta air kelapa. Sehinggalah tiba-tiba seluruh badan mengigil sebelum kebas dan rebah. Saya rasa tekanan dalam badan memang sudah terlebih had.

"Doktor masih memantau sekiranya saya boleh keluar hospital dalam masa terdekat. Sekarang ini saya memang kena cukup rehat saja untuk kembalikan semula tenaga," katanya.

Terdahulu, anaknya juga pelakon Wanna Ali, 26, berkongsi pengalaman mencemaskan itu yang disifatkan cukup menakutkan dalam hidupnya selepas Ayu tiba-tiba lumpuh selama 40 minit.

"Sampai hospital baru ibu boleh respon kepada kami. Badannya lumpuh sekurang-kurangnya 40 minit namun masih boleh mendengar," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 2:51 PM