Adam dan isteri.
Adam dan isteri.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Adam Lee menepis dakwaan netizen yang mengatakan isterinya yang juga pelakon Sweet Qismina sedang berbadan dua. 

Adam ketika dihubungi berkata, dia sekadar mampu mengaminkan setiap doa dan berharap dikurniakan cahaya mata. 

"Apabila orang luar membuat andaian dengan mengatakan sudah nampak bentuk kehamilan isteri, saya tidak terkejut. 

"Mereka boleh buat sebarang spekulasi dan ramai juga yang mendoakan mengenai berita yang tidak sahih ini. 

"Saya cuma boleh mengaminkan setiap doa mereka dan Insya-Allah mana tahu doa mereka diangkat sekali. Doakan yang baik-baik untuk kami sekeluarga,"katanya. 

Biarpun sudah hampir setahun mendirikan rumah tangga dan belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata, Adam bagaimanapun tidak terkesan dengan khabar angin terbabit.

"Jujurnya tak terkesan pun sebab perkahwinan yang kami cipta bukan untuk tempoh yang singkat tetapi selama-lamanya. 

"Jadi 'mindset' yang kami dah letakkan adalah percaya pada rezeki. Cepat atau lambat Insya-Allah Tuhan tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Kami bersyukur sangat apa yang kami ada,"katanya. 

Terdahulu tular foto Sweet yang dikatakan sedang berbadan dua.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober tahun lalu. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 11:48 AM