NADIA Brian. FOTO Aswadi Alias
NADIA Brian. FOTO Aswadi Alias
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon Nadia Brian menjelaskan tidak berkecil hati dengan mana-mana individu yang menjadikan kenyataannya mahukan kriteria bakal suami boleh membimbing ke arah lebih baik dan beragama sebagai 'content'.

 Nadia atau Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 32, mengambil pendekatan menjadikan perkongsian netizen yang membuat panggilan video dengan ustaz di Makkah memohon doa untuk dijodohkan dengannya sebagai gurauan.

"Semua bermula apabila saya ditanya tentang kriteria bakal suami dan menerusi temu bual itu, saya mahu seseorang yang beragama. Mestilah kita nak yang beragama, dapat membimbing dan susah senang bersama.

"Ada yang buat 'content' kenyataan saya itu sampai telefon ustaz di Mekah. Saya tidak mengenali individu tersebut tapi saya anggap dia hanya gurau dan buat content semata-mata.

"Cuma apabila bergurau, saya harap dalam masa yang sama tidak menyinggung mana-mana pihak terutama isteri sendiri. Orang kata jangan sampai ada yang terluka pula," kata Nadia.

Nadia mengulas mengenai isu itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran siri B.A.R.I.S.T.A: Misi Terpaling Sulit semalam. 

Sementara itu, Nadia berharap semua orang mendoakan yang baik-baik untuknya apabila kenyataannya itu berlawanan dengan imejnya yang seksi.

"Bila ada yang kata saya tak sesuai dengan orang beragama... saya minta doa yang baik-baik, penampilan saya bukannya keterlaluan. Kalau keterlaluan pun saya minta maaf.

"Saya masih menjaga batas, tidak menganggu sesiapa dan tahu menjaga diri. Malah saya ada niat nak berubah menjadi lebih baik. 

"Saya ada mendekati (agama) untuk diri saya sendiri seperti mengaji. Tapi saya tak kongsi kepada orang ramai. Benda baik ini saya rasa bersifat peribadi," katanya.

Untuk rekod, Nadia pernah mendirikan rumah tangga dengan Muizz Nasruddin pada 9 November 2019 namun mereka bercerai pada April 2021.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 3:44 PM