Mira Filzah. FOTO Aziah Azmee
Mira Filzah. FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal


Putrajaya: Pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah, 30, mengakui dia bakal berjauhan dengan anaknya, Wan Khair Amir, 15 bulan, selama tiga bulan demi menjayakan penggambaran filem terbarunya, Munajat Kekasih tidak lama lagi.

Menurut Mira, atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, dia juga tidak bimbang meninggalkan anak bersama ahli keluarga terdekat yang membantu mengawasinya di rumah.

"Saya memang berasa sedih kerana bakal berjauhan dengan anak tetapi ia komitmen kerja yang perlu dilakukan sebagai pelakon," katanya kepada Harian Metro.

Mira ditemui pada majlis memperkenalkan menu baru BurgerMira selaku duta Secret Recipe yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Mengulas filem Munajat Kekasih pula, kata Mira, dia bakal beraksi sebagai heroin dalam filem arahan Osman Ali itu.

"Hero filem ini masih belum diputuskan lagi dan tunggu pengumuman dari pengarah nanti.

"Buat masa ini, saya masih mengikuti kelas lakonan selama satu hingga dua minggu dengan pelakon dan pengarah berkaliber Elly Suriaty.

"Selepas kelas lakonan ini selesai, baru kami akan memulakan penggambaran filem ini yang membabitkan lokasi di Kelantan dan Terengganu sekali gus berkampung selama tiga bulan di sana," katanya.

Untuk rekod, pelakon yang menempa nama menerusi drama Pujaan Hati Kanda ini berkahwin dengan Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar, 33, pada 3 September 2020.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Wan Khair Amir yang dilahirkan pada 10 Mei tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 5:10 PM