NADEERA impi bekerjasama dengan Misha Omar, Khai Bahar dan Hazama.
NADEERA impi bekerjasama dengan Misha Omar, Khai Bahar dan Hazama.
Syafil Syazwan Jefri

NAMA Nadeera Zaini mula menjadi bualan tatkala dia tampil membuat persembahan dalam program realiti Big Stage musim kelima.

Pentas program itu sekali lagi membuktikan gadis berusia 30 tahun berkenaan memiliki bakat besar di mana kemampuannya dalam melantunkan vokal setiap kali mendendangkan lagu diberikan.

Usai 10 minggu bertarung dan berjuang, Nadeera kini membuktikan dirinya tidak kurang hebat jika dibandingkan dengan penyanyi hebat tanah air, sekali gus diumum sebagai juara.

"Saya dah lama idamkan trofi sebegini. Syukur kepada Allah dan saya ucap terima kasih kepada semua pihak terutama keluarga saya.

"Ini pertandingan keenam saya sertai dan kali ketiga saya sandang gelaran juara. Apa yang akan berlaku di masa hadapan bergantung kepada rezeki kerana saya yakin, rezeki tidak pernah salah alamat.

"Ia akan datang pada waktu tepat. Inilah masa dan waktu yang Allah berikan kepada saya. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya takkan berdiam lagi. Saya akan terus berkarya dan berikan yang terbaik untuk karier seni saya," katanya.

Mencuri tumpuan nama besar dalam industri muzik antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza yang memegang keyakinan Nadeera akan bergelar juara.

"Syukur Alhamdulillah. Terima kasih kepada Siti (Datuk Seri) juga kerana sebut nama saya di Instagram Story. Karya Siti ini sudah saya ikuti sejak umur saya tiga tahun.

"Lagu pertama keluar dari otak saya pada ketika itu adalah lagu Cindai. Saya bersyukur sangat kerana Siti nampak kehadiran saya.

"Selain itu, pesanan Datuk Syafinaz, Ziana Zain dan juri lain yang sedar kewujudan saya, mereka nasihatkan supaya mencari pasukan yang sehabis baik. Mungkin boleh naikkan saya selepas ini. Alhamdulillah, syukur saya jumpa pasukan baru saya," katanya.

Berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, Nadeera adarancangan tersendiri bersama ibu bapa yang sentiasa menyokongnya.

"RM100,000 itu, seperti yang saya maklumkan, niat saya dengan ibu bapa saya. Jadi, saya tak mahu cakap, kerana takut tak menjadi. Semuanya kuasa Allah," katanya.

HEBAT dengan kekuatan vokal.
HEBAT dengan kekuatan vokal.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapannya, Nadeera memaklumkan, dia baharu melancarkan single Mei lalu.

"Sebenarnya, sebelum saya sertai Big Stage saya ada keluarkan single pada Mei lalu. Judulnya Dia Penggantimu dan menjadi OST untuk drama bersiri Bukan Hanya Sekadar Cinta yang ditayangkan di TV3.

"Insya-Allah, selepas ini saya keluarkan lagi single baharu. Dalam waktu terdekat, saya akan mulakan proses rakaman," katanya.

Bukan sekadar membawa pulang wang tunai, Nadeera menerima hadiah istimewa iaitu tawaran mengeluarkan single hasil ciptaan komposer antarabangsa, Hyuk Shin.

"Untuk kerjasama dengan Hyuk Shin ini, saya masih menantikan keputusan perbincangan dengan pihak pengurusan.

"Kalau boleh, saya nak cuba sesuatu yang baharu. Tapi, apa pun, saya kena dengar dulu keputusan perbincangan itu. Yang pasti, ada elemen kejutan," katanya.

Diminta berkongsi pendapat mengenai pendapat Datuk Ramli MS mengenai kepentingan album buat seseorang penyanyi, Nadeera tidak menolak kebenaran kenyataan itu.

"Saya sokong 100 peratus pendapat diberikan Ramli MS. Benar, artis hari ini kebanyakannya lebih selesa mengeluarkan single berbanding album.

"Saya sendiri belum ada karya yang cukup untuk dimuatkan dalam satu album setakat ini. Tapi, saya pasti, suatu hari nanti, saya keluarkan album pertama saya. Manalah tahu, kalau ada rezeki di masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Nadeera meluahkan impian untuk berkolaborasi dengan nama-nama besar dalam seni lantun suara tanah air.

"Untuk kerjasama dengan artis lain pula, Insya-Allah, kalau ada rezeki. Kalau tanya mengenai artis-artis yang saya impikan untuk bekerjasama, ada beberapa nama bermain di fikiran saya antaranya Misha Omar, Khai Bahar dan Hazama," katanya.

Di pentas akhir Big Stage, Nadeera memberi persembahan berkesan untuk lagu Never Enough dalam segmen persembahan solo.

Untuk persembahan 'battle' bersama Waode dari Indonesia, kedua-dua mereka mempersembahkan lagu 'mashup' Semalam nyanyian asal Aina Abdul dan Gundah (Ernie Zakri).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 8:13 AM