Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Kalau nak cakap tentang perasaan, saya tak tahu nak gambarkan macam mana. Cuma, sekarang ini rasa lega kerana segala sudah berakhir dengan baik," kata pelakon Puteri Sarah Liyana, 38.

Puteri Sarah ditemui selepas perbicaraan perceraiannya dengan pengarah, Syamsul Yusof, 39, menemui titik noktah diharapkan.

Menurut Puteri Sarah, keputusan itu sepakat dicapai oleh dia dan bekas suaminya itu demi memikirkan kebahagiaan dua cahaya mata mereka iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Mengenai hak penjagaan anak yang menjadi miliknya, Puteri Sarah berkata, dia tidak meletakkan sebarang syarat untuk bekas suaminya itu bertemu dengan dua anak mereka.

"Saya tidak letakkan had untuk Syamsul bertemu anak-anak dan dia boleh datang bila-bila masa saja. Tiada juga hari tertentu yang saya tetapkan," katanya.

Menurut Puteri Sarah, dia juga mewajibkan dua anaknya untuk hadir sama dalam mana-mana majlis yang dibuat oleh kedua-dua belah keluarga.

"Bukan patut, tetapi mereka wajib untuk pergi ke mana-mana majlis kedua-dua belah keluarga. Ini kerana, kami berpisah secara baik demi kebaikan mereka (anak-anak)," katanya.

Hari ini, mahkamah memutuskan Syamsul dan Puteri Sarah sah bercerai talak satu selepas pengarah berkenaan melafazkan cerai pada jam 12.25 tengah hari.

Hakim juga mengesahkan dua lafaz cerai yang difailkan Puteri Sarah sebelum ini. Untuk rekod, pasangan itu pernah bercerai pada Mei 2015 dan rujuk semula beberapa hari kemudian.

Pada prosiding 25 Mei lalu, Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas memerintahkan Puteri Sarah selaku plaintif untuk memfailkan dakwaan lafaz cerai yang sudah dibuat Syamsul sebanyak dua kali terhadapnya.

Episod turun naik mahkamah dihadapi Puteri Sarah Liyana dan Syamsul berlarutan selama enam bulan dan berakhir sepenuhnya hari ini.

Justeru, Puteri Sarah kini menjalani tempoh idah selama tiga bulan bermula hari ini.

Ditanya juga mengenai sama ada dia sudah menggugurkan saman yang difailkan terhadap isteri kedua Syamsul iaitu Ira Kazar, Puteri Sarah enggan mengulas hal itu.

"Saya tak boleh dedahkan buat masa ini," katanya ringkas.

Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap Syamsul pada Januari lalu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangga mereka berlanjutan sejak empat tahun lalu.

Selain itu, dia juga enggan dimadukan selepas Syamsul membuat pengakuan sudah bernikah kali kedua dengan Ira di Thailand pada 6 Januari lalu.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam dan Summayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 2:45 PM