AMIRA dan Kashika gembira bekerjasama bersama.
AMIRA dan Kashika gembira bekerjasama bersama.
Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur : Pelakon, Amira Syahira, 20, membuat persiapan rapi sebelum memulakan lakonannya dalam drama bersiri Diva Seroja yang kini ditayangkan di slot Lestary, TV3.

Amira Syahirah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Syahira Azizul Abidin berkata, bagi menjayakan watak yang dibawanya, dia menonton beberapa filem dan drama dengan konsep seperti Diva Seroja bagi menguasai emosi dan lenggok dialog lakonan.

"Saya mengakui masih baru dalam bidang lakonan, jadi banyak aspek yang perlu saya belajar demi membawa watak dengan baik. Watak saya sebagai Leyla juga agak mencabar kerana banyak babak yang perlu menangis dan marah.

"Saya juga banyak merujuk kepada Puteri Balqis dan bertanyakan tips lakonan yang neutral dan tidak kekok di depan kamera," katanya yang juga YouTuber popular sebagai pemain dram.

Menurut Amira, dia dan pelakon drama itu mudah mencari keserasian kerana semuanya peramah dan memberi kerjasama yang baik.

"Berlakon dengan mereka adalah pengalaman paling menyeronokkan. Hubungan kami baik hingga ke luar set penggambaran.

Menurut Amira, watak Leyla yang dibawanya mengimbau kenangan zaman persekolahan seperti hubungan persahabatan dan menghormati guru di mana ia aspek penting dalam proses menimba ilmu.

Sementara itu, seorang lagi pelakon Diva Seroja, Kashika Selvam, 16, banyak merujuk kepada pelakon terkenal, Fasha Sandha bagi menjiwai watak Shanty.

Kashika yang aktif berlakon, menyanyi dan mengacara sejak berusia enam tahun berkata, Fasha adalah pelakon berdisiplin dan tidak lokek memberi ilmu dalam bidang lakonan.

"Kak Fasha sangat baik dan sering menegur jika saya membuat kesilapan. Tegurannya itu berasas dan saya terima dengan hati yang terbuka.

"Walaupun sudah lama menjadi pelakon, tetapi kak Fasha tidak pernah kedekut untuk berkongsi pendapat dan idea bagaimana ingin menjiwai watak sebagai seorang pelajar dalam drama ini," katanya.

Menurut Kashika, dia juga perlu menghabiskan masanya mendengar lagu Bollywood bagi menjiwai watak Shanty yang sangat sukakan lagu itu.

"Sebelum berlakon, saya perlu menguasai watak itu, jadi banyak lagu Bollywood yang saya perlu hafal untuk membawa watak sebagai Shanty, yang sukakan Bollywood, 'enjoy' dan 'happy go lucky'," katanya.

Dalam pada itu, Kashika berkongsi pengalamannya sepanjang di lokasi penggambaran, mereka berlakon dengan seronok tanpa tekanan.

"Walaupun di belakang kamera, hubungan kami sudah seperti adik-beradik dan saya yang paling muda dalam kalangan mereka, kerana itulah mereka banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sepanjang penggambaran drama itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 4:30 PM