Aris Ariwatan.
Aris Ariwatan.
Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Penyanyi rock popular era 1990-an, Aris Ariwatan berpendapat harga kerjaya artis veteran cukup besar nilainya.

Aris Ariwatan atau nama sebenar Harris Fadzillah Daud, 58, berkata, pengorbanan penyanyi veteran menempa nama dalam dunia seni sangat besar. 

"Dahulu, tahap perjuangan menjadi seorang penyanyi sangat dasyat kerana terpaksa melalui pelbagai proses sebelum bergelar sebagai penyanyi.

"Ini kerana pada zaman itu studio sangat terhad dan jika mahu merekod nyanyian dalam studio, kita perlu melepasi tahap 'key performance indicator' (KPI) pihak rakaman," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran 3P Muzik Malaysia, Kuala Lumpur, kelmarin. 

Tambahnya, penyanyi 'BBNU' sekarang sudah tidak perlu berdepan dengan cabaran yang mereka hadapi dahulu kerana zaman sudah berubah. 

"Seperti sekarang, mereka merekod di rumah atau di akaun sosial media pun sudah boleh menjadi penyanyi popular." katanya.

Mengulas perkara itu, kata Aris tahap pengorbanan itulah sebenarnya yang membentuk sebuah karya hebat.

"Bagi saya, jika besar pengorbanan menjadi seorang penyanyi, pastinya mereka dapat menghasilkan lagu berkualiti kerana sebuah lagu adalah bunyi-bunyian yang tidak boleh disentuh, tetapi boleh dirasai, katanya. 

Dalam pada itu, Aris memaklumkan dia kagum dengan karya-karya penyanyi seperti Faizal Tahir, Hael Husaini dan Malique. 

"Karya mereka ini saya dapat merasakan dengan lebih mendalam mesej yang hendak disampaikan kepada khalayak, katanya. 

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Lamunan Terhenti ini juga berkongsi dia bakal mengeluarkan dua buah lagu baharu hujung tahun ini. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 12:14 PM