ARIS Ariwatan menyampaikan lagu Kenyir Keindahan Alam
ARIS Ariwatan menyampaikan lagu Kenyir Keindahan Alam
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Aris Ariwatan melancarkan single baharu berjudul Kenyir Keindahan Alam bersempena dengan Tahun Melawat Kenyir 2022, baru-baru ini. 

Lagu itu adalah usahasama Aris dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melalui Ketengah Holding Sdn Bhd yang dipengerusikan Datuk Razali Idris.

Aris berkata, walaupun dia bukan berasal dari Terengganu, namun Aris sentiasa terbuka untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat dengan hasil kerjanya.

"Siapa yang panggil saya buat lagu, saya akan cuba realisasikan sebaik mungkin. Saya bersyukur mereka mempercayai hasil kerja dan berharap mesej lagu ini sampai.

"Ramai tak tahu saya menulis lagu Pesta Pulau Pinang 2004, bukan hanya lagu komersial tapi juga lagu untuk produk. Saya suka berkarya," katanya.

Menurut Aris, dia berharap promosi yang lebih 'padu' dapat dilakukan bagi memperkenalkan pelbagai keunikan di Tasik Kenyir, bukan hanya flora dan fauna bahkan sejarah tasik terbabit.

Sementara itu, Razali berharap menerusi lagu yang diperkenalkan matlamat untuk  memperkenalkan Wilayah Tengah kepada seluruh masyarakat  Malaysia mencapai sasaran.

Katanya, pada masa sama keindahan, keunikan serta keistimewaan kawasan itu dapat melonjakkan rantaian ekonomi penduduk setempat.

"Kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir dan destinasi pelancongan lain dalam wilayah ini dapat mencetuskan budaya yang menjurus kepada kesedaran mengenai tanggungjawab terhadap kepentingan ekologi dan penjagaan alam sekitar," katanya.

Antara destinasi tumpuan seperti Air Terjun Chemerong yang juga air terjun tertinggi Malaysia, Lubuk Kain Sungai Bangan,  Pokok Cengal Besar,  Chemerong Berembun Lansir  yang juga lubuk buat pendaki dengan menjanjikan keindahan menakjubkan.

Selain Aris Ariwatan, majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi Sham Visa yang membawakan deretan lagu popularnya.

Bersempena pelancaran lagu Kenyir Keindahan Alam penuh bermakna itu, satu lagi program istimewa iaitu Kenyir Eco Trophy (KET) 2022 menjadi acara penutup baru-baru ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 10:34 AM