DANIELLA berpendapat cabang rezeki di negara ini sangat luas.  FOTO: Rohanis Shukri
DANIELLA berpendapat cabang rezeki di negara ini sangat luas. FOTO: Rohanis Shukri
Norhayati Nordin

BIARPUN masih baharu menempa nama di persada industri hiburan tempatan, pelakon Daniella Sya boleh dianggap bertuah dan sangat bernasib baik.

Apatah lagi, dia yang berketurunan Cina berjaya meloloskan diri untuk sama-sama bersaing dengan pelakon baharu di kalangan Melayu untuk terus meraih peluang.

Namun, Daniella Sya memaklumkan pembabitannya dalam kerjaya seni kerana minat dan bukan untuk mengejar populariti semata-mata.

Menurut pemilik nama sebenar Daniella Sya Yeng Yeng ini, dia sangat mengharapkan dikenali melalui bakat dimiliki dan enggan terkait dengan gosip atau cerita sensasi.

Bahkan, baginya dia tak gentar berdepan saingan kerana yakin pada usaha. Ujarnya, hanya dengan usaha tanpa jemu pasti membawa kejayaan.

"Sekarang, saya sangat rajin bekerja untuk mengukuhkan nama dan bakat. Ia kerana, saya tak mahu bersaing dengan orang lain hanya untuk mencari pengaruh.

"Bagi saya, jika mahu berjaya konsep asasnya hanya kena usaha dan rajin. Malah, dari situlah yang akan membawa satu kejayaan besar," katanya.

Setakat ini, antara drama popular yang pernah dibintangi Daniella Sya ialah Aurora Aishah, Jodoh-jodoh Annisa dan Isteri Bukan Untuk Disewa.

Mengulas juga tindakannya yang tidak terkejar-kejar popular, Daniella Sya berkata, dia seorang yang mendapati cabang rezeki di negara ini sangat luas.

DANIELLA Sya tidak gentar hadapi saingan kerana yakin pada usaha tak kenal jemu.  FOTO: Rohanis Shukri
DANIELLA Sya tidak gentar hadapi saingan kerana yakin pada usaha tak kenal jemu. FOTO: Rohanis Shukri

"Justeru, saya rasakan tidak perlu pun bersaing sesama sendiri kerana percaya setiap orang itu sudah disertakan kekuatan masing-masing.

"Sejujurnya, saya sangat berbangga lahir dan menjadi anak Malaysia. Untuk saya, itu sudah cukup memberi peluang pada diri ini untuk melangkah lebih jauh dalam industri hiburan tanah air.

"Kuncinya, memang kena rajin dan selalu berusaha untuk memajukan diri. Ditambah, kejayaan takkan datang bergolek begitu sahaja," katanya.

Berbicara mengenai dirinya yang sering dikritik warganet kerana berani tampil seksi, wanita dari Kedah ini berkata, ramai yang masih salah faham dengannya kerana menganggap dia adalah Muslim.

"Kecaman daripada warganet itu berpunca daripada pandangan mereka yang berasakan saya Melayu dan beragama Islam. Tapi, seksi pula.

DANIELLA  mahu dikenali kerana bakat dan enggan terkait dengan gosip atau cerita sensasi.  FOTO: Rohanis Shukri
DANIELLA mahu dikenali kerana bakat dan enggan terkait dengan gosip atau cerita sensasi. FOTO: Rohanis Shukri

"Terus-terang, saya tak peduli pun pada setiap kecaman itu kerana sedar ia permainan utama di platform media sosial pada masa kini," katanya.

Menurut Daniella Sya, netizen memang suka tulis komen dan mereka berhak kongsi apa yang diluahkan. Justeru, di atas faktor itu, dia lebih selesa tidak menghiraukan dan tenang sahaja.

Berbicara juga perkembangan kerjaya, Daniella Sya berkata, dia teruja dapat muncul dan terbabit dalam filem komedi seram berjudul Takut Ke Tak.

Filem arahan pengarah baharu dikenali Muzzamer Rahman itu, diakui Daniella Sya sangat menarik dari aspek jalan cerita dan karya berkenaan sudah ditayang pawagam pada 27 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 6:15 AM