Allahyarham Mohd Baharin (duduk) meninggal dunia pada hari ini.
Allahyarham Mohd Baharin (duduk) meninggal dunia pada hari ini.
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur: Bapa kepada pelakon Amar Baharin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang, Selangor sekitar  jam 4 pagi tadi.

Menurut isteri Amar iaitu Amyra Rosli, bapa mentuanya mengadu sakit dada dan dibawa ke hospital berkenaan oleh adik Amar.

"Sekelip mata semuanya terjadi, saya terima panggilan daripada Amar pada jam 3.59 pagi memaklumkan ayah sudah tiada. 

"Dia tidak mengalami sebarang sakit, cuma mengadu dada agak ketat sejak dua hari lalu. Cuma apabila tidak tahan pagi tadi, dia meminta adik Amar membawa ke hospital.

"Ayah agak lemah dan doktor cuba memberikan bantuan pernafasan dan tidak lama selepas itu ayah menghembuskan nafas terakhir," katanya kepada Harian Metro.

Jenazah bapa Amar dibawa ke Masjid Sungai Sekamat, Kajang, untuk dikafan dan disolatkan sebelum disemadikan.

"Kami semua bersyukur kerana urusan dipermudahkan semuanya buat ayah. Pengakhiran yang sangat cantik, sangat cepat dan dipermudahkan. Lebih istimewa, cuaca juga mendung ketika urusan sebentar tadi," katanya.

Terdahulu, Amar memuat naik khabar duka memaklumkan bapanya meninggal dunia namun tidak memperincikan butir lanjut.

"Assalamualaikum. Saya Amar ingin memaklumkan kepada semua yang mengenali ayah saya, Mohd Baharin bin Amir, bahawa ayah sudah meninggal dunia.

"Mohon doakan arwah semoga Allah ampunkan segala dosa arwah. Andai ada dosa arwah sesama kalian, mohon diampunkan sepanjang arwah hidup di dunia ini.

"Andai kata ada pahala dari bacaan ayat suci al-Quran anda semua, mohon disedekahkan kepada arwah.

"Dengan izin Allah, semoga Allah permudahkan pengurusan jenazah dan Allah letakkan arwah bersama insan beriman," tulisnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 2:28 PM