ZARINA Zainuddin
ZARINA Zainuddin
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Zarina Zainuddin memohon maaf diatas kesilapan anak istimewanya, Azal yang memuat naik paparan yang menyinggung sensitiviti di media sosial miliknya.

Jelas Zarina, Azal atau pemilik nama penuh, Muhammad Raizal Azrai, 27, ingin menjadikan media sosial sebagai medium bercerita namun tersalah rentak.

"Saya ingin memohon maaf dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Maafkan anak saya Azal diatas ketelanjurannya memuat naik gambar orang yang sudah meninggal dunia.

"Niatnya baik hendak bercerita namun tidak kena rentaknya. Saya baru saja dimaklumkan mengenai paparan yang dibuat oleh Azal dan menyuruhnya untuk memadamkan gambar itu.

"Sekali lagi, saya memohon maaf andai kata ada yang tersinggung atau perkongsian yang dimuat naik itu menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Bukan niat Azal hendak mengguris perasaan sesiapa.

"Sebagai ibu, memang tugas saya untuk memantau namun bukan mudah apatah lagi membabitkan media sosial dan teknologi yang semakin meluas. Kadang kala, saya juga terlepas pandang perkongsian yang dimuat naik," katanya.

Jelas Zarina, dia bersyukur dimaklumkan awal mengenai perkongsian dimuat naik oleh anak istimewanya itu.

Selain Azal dan kembarnya, Muhammad Razil Azrai yang juga autisme, Zarina turut dikurniakan dua lagi anak lelaki, Muhammad Adam Azrai dan Muhammad Naim Azrai.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Zarina kini sedang menjalani penggambaran dua drama iaitu Bang Maznah Datang dan Rajuk Karina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 1:35 PM