Kuala Lumpur : Bintang Hollywood dari Malaysia, Henry Golding, 36, bakal menimang anak kedua dan isterinya Liv Lo, 37, dijangka bersalin pada September ini.

Henry mengumumkan berita gembira itu menerusi hantaran gambar terbaru bersama isteri dan anak pertamanya Lyla Golding, 2, di mana Liv turut menunjukkan perutnya.

"Menghampiri," tulisnya di keterangan gambar.

Liv turut memuat naik gambar sama dan berkongsi jangkaan bila dia akan bersalin.

"Oh hey! Bayi baharu dalam perjalanan, bersalin 1 September," katanya.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 2016 dan dikurniakan cahaya mata pertama iaitu Lyla pada Mac 2021.

Pelakon keturunan Iban-Inggeris itu kini berpangkalan di Hollywood selepas mencipta nama menerusi filem pecah panggung Crazy Rich Asians pada 2018.

Sejurus itu, Henry dihujani pelbagai tawaran filem di sana membintangi watak utama termasuk Snake Eyes, Last Christmas, A Simple Favor, The Gentleman dan Persuasion.

Terbaru, dia bergandingan dengan nama-nama besar termasuk Henry Cavill, Eiza Gonzalez, Alan Ritchson, Alex Pettyfer, dan Babs Olusanmokun dalam filem The Ministry of Ungentlemanly Warfare arahan Guy Ritchie.

Filem itu dijangka akan ditayangkan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 12:58 PM