Henry Golding
Henry Golding
Georgie Joseph


Kuala Lumpur : Pelakon kelahiran Malaysia, Henry Golding, 36, bakal bergandingan dengan Henry Cavill, 40, dalam filem perang berjudul The Ministry of Ungentlemanly Welfare arahan Guy Ritchie yang bakal memulakan penggambaran pada 13 Februari ini.

Golding turut berkongsi berita gembira itu selepas namanya sah tersenarai membintangi filem yang menghimpunkan pelakon-pelakon bernama hebat.

"Guy Ritchie menghimpunkan Henry seolah-olah mereka adalah batu infiniti," katanya.

Pelakon keturunan Iban-Inggeris itu diumumkan menyertai barisan teraju filem terbabit selain Cavill, Henrique 'Henry' Zaga, Eiza Gonzalez, dan Alan Ritchson.

Selain itu, turut berlakon ialah Alex Pettyfer, Cary Elwes, Hero Fiennes Tiffin, Babs Olusanmokun dan Til Schweiger.

Bagaimanapun, butiran watak yang bakal dilakonkan Golding belum didedahkan.

Pada Oktober tahun lalu, Cavill dan Gonzalez diumumkan akan menerajui filem mengenai Perang Dunia Kedua. Watak Cavill adalah ketua organisasi perisikan dan Gonzalez sebagai tentera penembak tepat.

Naskhah Itu diinspirasikan daripada kisah benar dalam buku tulisan ahli sejarah Damien Lewis. Skripnya pula ditulis sendiri Ritchie.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 11:07 AM