AWI Rafael dan Atikah Suhaime saling berfikiran positif meskipun jodoh mereka tidak kesampaian. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AWI Rafael dan Atikah Suhaime saling berfikiran positif meskipun jodoh mereka tidak kesampaian. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syanty Octavia Amry


WALAUPUN hasrat untuk bergelar suami isteri hari ini tidak kesampaian, pasangan artis dari Singapura, Awi Rafael dan Atikah Suhaime sentiasa positif.

Malah hari ini Atikah turut berkongsi perasaannya di Insta Story Instagram miliknya mengenai hari yang sepatutnya menjadi penuh bermakna buat dia dan keluarga.

Namun begitu, dia menganggap perkara itu mungkin hanya akan terjadi dalam mimpi saja.

“Sepatutnya hari ini menjadi hari terindah buat saya. Berjalan sendirian ke pelamin putih dengan lampu dari pelamin 10 meter.

“Hiasan dan rekaan ini juga turut dipilih oleh mama saya. Tetapi semua itu mungkin saya dapat lihat dalam mimpi saja kemudian bangun dalam keadaan bersedih,” tulisnya.

Khamis lalu, pasangan itu mengejutkan ramai apabila masing-masing membuat pengumuman di Instagram bahawa pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung hari ini dibatalkan.

Dalam pada itu, Awi juga turut berkongsi di Instagram miliknya mengenai kejutan yang dilakukan oleh ibunya hari ini.

“Terima kasih ibu hadiahkan Awi tempat rehat untuk tenangkan fikiran. Tak sangka ibu dah simpan duit khas untuk hadiah ini.

“Ibu tahu, saya sudah cuba lakukan yang terbaik, Awi akan usaha lagi kuat untuk tetap banggakan ibu.

“Doa dan restu ibu nombor satu untuk seorang anak lelaki. Insya-Allah kalau ada rezeki, Awi akan cuba lagi untuk membina keluarga masa depan Awi, saya janji pada ibu,” tulisnya.

Sementara itu, dalam perkongsian lain, Awi turut menulis dia dan juga Atikah mengucapkan terima kasih kepada semua kerana memberi sokongan buat mereka berdua.

“Kami akan terus positif dan cuba teruskan hidup, dengan pengajaran yang kami berdua miliki sepanjang tahun lalu.

“Tanggungjawab sekarang harus ke keluarga masing-masing. Insya-Allah semua akan faham.

“Buat yang terbaik okey Atikah. Kami cuba yang terbaik yang kami mampu. Allah lebih mengetahui, Amin,” tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 5:36 PM