Gandingan Nazrey, Zawfan hasil single terbaharu berjudul Bismillahir Rahmanir Rahim.
Gandingan Nazrey, Zawfan hasil single terbaharu berjudul Bismillahir Rahmanir Rahim.
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


Kuala Lumpur: Tertarik dengan konsep penggunaan gendang dalam nasyid mendorong Nazrey Johani untuk berkerja sama dengan kumpulan Zawfan.

Gandingan julung kali ini menghasilkan lagu single terbaharu berjudul Bismillahir Rahmanir Rahim.

Nazrey juga bekas anggota kumpulan Raihan menaruh keyakinan lagu nasyid mempunyai bentuk dan tarikan tersendiri.

"Saya tertarik dengan konsep penggunaan gendang dalam nasyid ini.

"Sememangnya inilah irama nasyid yang dirindui," katanya.

Menerusi kolaborasi itu juga, nasyid yang hanya dinyanyikan dengan vokal berharmoni diiringi kompang dan pergendangan dipercayai cukup dirindui masyarakat.

Bagi kumpulan Zawfan dianggotai Hafiz Tarmizi, Fadzil Radzi dan Yasir Tarmizi mereka yakin kerinduan kepada lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid seperti Raihan, Nadamurni dan The Zikr tidak hanya dikongsi dalam komuniti kecil mereka tetapi juga dirasai oleh ramai lagi pendengar di luar sana.

"Berbekalkan lirik yang jelas dan melodi yang ringkas, nyanyian yang sederhana dengan vokal berharmoni serta iringan kompang dan pergendangan sahaja.

"Namun ia mampu membawa mesej keagamaan, ketuhanan, kemanusiaan dan kerohanian dengan penyampaian yang sangat mengesankan masyarakat," kata Hafiz.

Lirik Bismillahir Rahmanir Rahim ditulis oleh Sirr Muhammad dan Hafiz Tamizi, manakala dari segi susunan perkusi pergendangan pula mendapat sentuhan pemuzik seperti Zufar Adzahan dan Fadzli Radzi.

Single kedua Zawfan selepas lagu single pertama berjudul Rasul Kita diterbitkan oleh Zawfan dan diedarkan secara digital oleh Soofi Media.

Menggunakan melodi santai, ringkas dan lirik yang jelas serta rangkap chorus yang berulang sememangnya menjadi resepi yang menjadikan lagu itu mudah untuk dinyanyikan setiap lapisan umur masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 6:01 PM