ANTARA babak dalam filem Shazam! Fury of the Gods. - FOTO Google
ANTARA babak dalam filem Shazam! Fury of the Gods. - FOTO Google
Syafil Syazwan Jefri


PENONTON dan pencinta filem nampaknya tak sedang duduk dan tak menang tangan memandangkan banyak filem-filem menarik ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Tiga filem yang menarik perhatian saya untuk ditonton ialah Shazam! Fury of the Gods, John Wick: Chapter 4 dan A Man Called Otto.

Ketiga-tiganya ada elemen yang saya rasakan mencakupi keinginan saya untuk melangkah ke pawagam.

Shazam! Fury of the Gods

  • PENGARAH: David F Sandberg

  • PENULIS SKRIP: Henry Gayden, Chris Morgan

  • PELAKON: Zachary Levi, Asher Angel, Jack Dylan Grazer, Rachel Zegler, Adam Brody, Ross Butler, Meagan Good, Lucy Liu, Djimon Hounsou, Helen Mirren

  • TERBITAN: New Line Cinema, DC Studios, The Safran Company

    Bagi peminat filem adiwira, filem Shazam! Fury of the Gods tentunya menjadi filem yang dinanti-nantikan kehadirannya.

    Secara ringkasnya, filem Shazam kali ini adalah kesinambungan kepada filem Shazam! yang pernah ditayangkan pada 2019.

    Tentunya, ramai sedia maklum mengenai perwatakan Billy Batson yang keanak-anakan. Dalam filem sekuel ini, sifat itu masih ada, cuma Billy nampaknya semakin matang.

    Dalam usia hampir 18 tahun, watak Billy digambarkan sebagai remaja yang mula berfikir dengan lebih jelas dan mampu mengetuai adik-beradik angkatnya yang juga kini memiliki kuasa.

    Kali ini, kumpulan adiwira ini berjuang menentang adik-beradik yang juga anak-anak kepada Titan Atlas, Hespera dan Kalypso.

    Yang menarik perhatian saya tentunya dua watak jahat utama, yang dilakonkan oleh Lucy Liu dan Helen Mirren. Kedua-duanya umpama gabungan yang berkesan untuk membuatkan penonton tidak senang duduk.

    John Wick: Chapter 4

  • PENGARAH: Chad Stahelski

  • PENULIS SKRIP: Shay Hatten, Michael Finch

  • PELAKON: Keanu Reeves, Donnie Yen, Bill Skarsgård, Laurence Fishburne, Hiroyuki Sanada, Shamier Anderson, Lance Reddick, Rina Sawayama, Scott Adkins, Ian McShane

  • TERBITAN: Summit Entertainment, Thunder Road Films, 87Eleven Productions

    Filem sekuel, John Wick: Chapter 4 ini juga turut mencuri tumpuan saya. Mana tidaknya, siapa saja yang tidak menantikan aksi hebat dan bersahaja daripada Keanu Reeves ini.

    Lebih menarik lagi, filem sekuel selepas John Wick: Chapter 3 - Parabellum ini turut menampilkan bintang filem Ip Man, Donnie Yen.

    Walaupun menginjak usia 59 tahun, namun aksi Reeves sebagai John Wick masih layak diberikan pujian. Namun, tidak dinafikan, ada beberapa detik yang mana, saya sebagai penonton dapat melihat susuk tua seorang Keanu Reeves.

    Beralih kepada lakonan dan aksi Yen yang memegang pembunuh upahan buta bernama Caine juga tidak mengecewakan.

    Lakonan dan aksinya bergerak dengan sangat mantap dan padu. Proses pencarian kesilapan juga berakhir dengan kekecewaan kerana hampir semua babak membabitkan Yen, umpama sempurna.

    Dari sudut jalan cerita, saya akui ada beberapa babak yang terlalu meleret-leret dan tidak diperlukan. Tapi, secara keseluruhan, semuanya bergerak dengan baik dan mudah difahami.

    JOHN Wick: Chapter 4, Shazam! Fury of the Gods dan A Man Called Otto ada keistimewaan. - FOTO Google
    JOHN Wick: Chapter 4, Shazam! Fury of the Gods dan A Man Called Otto ada keistimewaan. - FOTO Google

    A Man Called Otto. - FOTO Google
    A Man Called Otto. - FOTO Google

    A Man Called Otto

  • PENGARAH: Marc Forster

  • PENULIS SKRIP: David Magee

  • PELAKON: Tom Hanks, Mariana Treviño, Rachel Keller, Manuel Garcia-Rulfo, Truman Hanks, Mike Birbiglia

  • TERBITAN: Columbia Pictures, SF Studios, TSG Entertainment II, Artistic Films, Playtone, 2DUX², Stage 6 Films, STX Films, Big Indie

    Filem ketiga yang mencuri perhatian saya adalah, A Man Called Otto yang dibintangi teraju utama, Tom Hanks. Siapa yang mampu menafikan kemampuan lakonan dan keberkesanan Hanks dalam menjayakan sesuatu watak.

    Kali ini, Hanks menjayakan watak Otto Anderson dengan cemerlang.

    Diadaptasi daripada novel dan filem dengan judul asal A Man Called Ove, filem ini mengisahkan mengenai Otto Anderson yang menetap di kawasan pinggir bandar.

    Watak ini digambarkan sebagai warga emas berusia 63 tahun, kematian isteri akibat kanser, sudah bersara dan merancang untuk menamatkan riwayatnya sendiri.

    Namun, cubaannya membunuh diri sentiasa gagal kerana 'diganggu' oleh jiran baharu di kejiranannya, iaitu pasangan Marisol dan Tommy.

    Saya melihat mesej besar yang disampaikan menerusi filem arahan Marc Forster ini, di mana, kehidupan itu sebenarnya indah dan kebaikan mampu mengisi kekosongan jiwa seseorang.

    Siapa sangka, kehadiran pasangan Marisol dan Tommy yang ada kalanya, sangat menjengkelkan dan seperti suka menyibuk, sebenarnya menyelamatkan nyawa Otto.

    Marisol terutamanya, terus menerus menyebarkan kebaikan sesama jiran walaupun kehadirannya dan keluarga, umpama tidak disenangi oleh Otto pada awalnya.

    Watak Otto juga membuktikan bahawa, setinggi mana pun ego seseorang, masih ada sekelumit kebaikan dalam dirinya.

    Secara keseluruhan, A Man Called Otto menyajikan filem dengan penutup penuh kesedihan. Namun, ia bukanlah disebabkan sesuatu yang tragis, tetapi, hakikat kehidupan.

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 6:49 AM