KUMPULAN Hujan ketika sidang media Showcase Jiwa Kacau 2023 di Heritage Club, Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KUMPULAN Hujan ketika sidang media Showcase Jiwa Kacau 2023 di Heritage Club, Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Kumpulan Hujan berhasrat menjadikan album ke-10 akan datang sebagai album terakhir kerana sudah menghasilkan puluhan lagu sehingga kini.

Penerbit dan pemain gitarnya, AG Coco, 39, berkata, mereka sentiasa pening memilih lagu apa untuk dipersembahkan dan merasakan tidak logik jika menghasilkan terlalu banyak lagu.

"Hujan sudah banyak sangat 'repertoire' (lagu). Isu paling besar biasanya adalah 'setlist' (senarai lagu) sebab banyak sangat lagu. Tak logiklah kalau banyak sangat lagu. Kami sasar nak lancarkan album itu pada ulang tahun kami yang ke-20 iaitu dua tahun lagi.

"Album seterusnya adalah album ke-10 dan mungkin itulah album terakhir. Selepas ini hanya buat perkara lainlah. Itu jadi macam satu katalog terakhirlah," katanya ditemui pada sidang media Showcase Jiwa Kacau 2023.

AG atau nama sebenarnya Mohd Hezry Mohd Hafidz berkata, mereka sentiasa mahu puaskan hati peminat yang digelar Raingers sehingga pening memilih lagu mana perlu dipersembahkan.

"Kami buat konsert ulang tahun ke-10 selama tiga jam dan persembahkan 40 lagu. Ini kerana ada pecahan generasi Raingers yang berbeza kegemaran. Jadi nak bagi seimbang, semua dapat," katanya.

Namun, AG yang kini menetap di United Kingdom (UK) menegaskan, Hujan masih akan aktif seperti biasa.

"Dengan sekarang sudah duduk di UK, Noh mungkin satu hari dia pindah tempat lain. Jadi, cari 'angin' lain pulalah, tapi Hujan masih akan ada," katanya.

Bercerita mengenai album terakhir itu, AG percaya mereka akan hasilkan karya yang lebih hebat kerana mahu pastikan ia album paling bermakna buat Hujan.

"Biar album ke-10 itu lebih bermaknalah. Sebab kami selalu bereksperimen setiap album yang dihasilkan mengikut konsep tertentu. Bukan sekadar album biasa.

"Mungkin keseluruhan album itu kami 'all out' dengan semua sudut daripada produksi, rakam di studio yang luar zon selesa kami, pergi satu tempat lain untuk tulis sama-sama," katanya.

Ditubuhkan sejak 2005, Hujan yang turut dianggotai Noh sebagai penyanyi utama, Azhan Ahmad (dram) dan Izzat Uzaini (bass) bakal menyambut ulang tahun ke-20 pada 2025.

Menyusul, Hujan akan menjayakan Showcase Jiwa Kacau 2023 anjuran MND Sport & Event Sdn Bhd pada 17 Jun nanti di Stadium Malawati, Shah Alam. Turut beraksi adalah Bunkface, Masdo, dan Insomniacks.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 11:48 AM