ELLA hiburkan peminat setia di Sabah pada Jelajah Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota.
ELLA hiburkan peminat setia di Sabah pada Jelajah Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota.
Yun Mikail

Kisah percintaan adalah perkara peribadi dalam kehidupan setiap orang. Bagaimanapun, penyanyi yang mendapat jolokan 'Ratu Rock' iaitu Ella terbuka mendedahkan bibit cintanya bersama suami, Azhar Husaini Ghazali bermula di Kota Kinabalu.

Ella yang cukup dikenali dengan perwatakan manja berkata, mungkin faktor berkenaan membuatkan Sabah begitu dekat di hatinya, sekali gus menguatkan lagi keinginan untuk mengadakan konsert berskala besar di Negeri di Bawah Bayu itu.

"Saya pun bercinta dekat KK (Kota Kinabalu) bah. Ramai orang tak tahu mengenai perkara itu, sebab rahsia.

"Jadi, ini antara sebab yang turut menguatkan lagi rasa kasih di hati saya untuk datang ke Sabah kerana negeri ini terlalu manis dalam kisah percintaan saya dengan suami," katanya ketawa dan tersipu malu.

Terdahulu, Ella berkata demikian ketika ditemui hadir sempena Jelajah Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Menyasarkan kehadiran 6,000 hingga 8,000 penonton, konsert istimewa itu difahamkan sudah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai 'Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours'.

Bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 20 Januari tahun depan, Ella yang popular dengan lagu Rama-Rama dan Baldu Biru duet bersama Datuk Awie, mengakui dia amat teruja mahu menghiburkan peminatnya di Borneo.

Bercerita juga mengenai penganjuran Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Sabah itu, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin ini memberitahu dia sentiasa mendengar serta mengambil kira permintaan peminatnya yang selalu menginginkannya hadir mengadakan konsert berskala besar di negeri itu.

ELLA pada Jelajah Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota.
ELLA pada Jelajah Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota.

Penghibur berkaliber yang berusia 57 tahun ini berkata, penganjuran konsert yang meraikan pembabitannya sebagai anak seni lebih tiga dekad itu dilihat sebagai satu masa yang tepat untuk menjadi hadiah istimewa buat penggemar setia di Sabah.

"Sebenarnya saya tidak pernah merancang dan tunggu sehingga 35 tahun baru hendak datang buat konsert di Sabah. Tetapi, kita sebenarnya sentiasa kena melihat pelbagai aspek dalam menjayakan sesebuah persembahan berskala besar.

"Hakikatnya, saya selalu saja datang ke Sabah untuk menjayakan persembahan nyanyian. Namun, kali ini sedikit istimewa sebab ia adalah sebuah konsert yang menjadi penghargaan bermakna dalam karier seni saya.

"Apatah lagi, peluang dan rezeki dapat mengadakan konsert besar pada tahun ini sempena meraikan ulang tahun ke-35 dalam industri. Oleh itu, saya juga mahu mempunyai kenangan terindah bersama peminat di Sabah," katanya.

Ella yang turut aktif dalam perniagaan sebagai usahawan tanaman cili berjaya berkata, dia dan suami saling memahami dan menyokong aktiviti masing-masing dalam karier serta menghormati penggemar di mana juga berada.

ELLA selepas sidang media Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Kota Kinabalu.
ELLA selepas sidang media Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 8:26 AM