HAIZA dan Hanif berjaya bongkar sisi berbeza YB Rara dalam program Close Up Bicara Petang Buletin FM.
HAIZA dan Hanif berjaya bongkar sisi berbeza YB Rara dalam program Close Up Bicara Petang Buletin FM.
Najiy Jefri


BICARA Petang Buletin FM bersama Haiza & Hanif Miswan meraikan Hari Wanita Antarabangsa dengan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, 33, berjaya membongkar sisi berbeza mengenai diri wanita berkaliber itu, baru-baru ini.

Lebih mengujakan, Young atau mesra disapa YB Rara turut bercerita bagaimana dia mula bergiat aktif dalam bidang politik.

Siapa sangka, pada usia 24 tahun, YB Rara sudah mula aktif dalam bidang yang penuh cabaran dan tanggungjawab kepada masyarakat itu.

Pada awalnya, beliau belajar dalam bidang kejururawatan dan memulakan karier sebagai 'private nurse home' yang menjaga orang sakit di rumah selama setahun dan pernah juga bekerja di klinik di Puncak Alam sebagai jururawat.

YB Rara turut turun di jalanan untuk membantu orang ramai serta mula sertai ceramah politik kerana keluarganya juga bergiat aktif dengan aktiviti ceramah politik.

"Saya tak sangka saya akan sertai politik. Mula rasa seronok bila turun jalanan sebab dapat tahu realiti sebenar masalah rakyat," katanya.

Bercerita mengenai namanya yang disifatkan unik, YB Rara berkata, nama itu diberikan oleh kedua-dua ibu bapanya kerana mahu mengikut nama adik-beradik Sultan Perak iaitu Yong Safura.

"Sebutan nama saya sebenarnya 'Yong' kerana ikut loghat Perak iaitu kakak. Malah, saya seorang saja anak perempuan dalam keluarga yang adik-beradik lain semua lelaki.

"Ketika saya dilahirkan di Perak dan ibu bapa pilih nak letak nama Young kerana ikut nama adik-beradik Sultan Perak iaitu Yong Safura." katanya.

YB Rara hadir memeriahkan program Close Up Bicara Petang di Buletin FM.
YB Rara hadir memeriahkan program Close Up Bicara Petang di Buletin FM.

Sebagai ahli politik Melayu wanita yang menyertai parti politik bukan Melayu, banyak cabaran untuk membuktikan kemampuan YB Rara sehingga menang dan diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) .

"Saya menyertai parti politik yang agak kontroversi di mata masyarakat Melayu. Saya sertai parti politik DAP yang majoritinya adalah bangsa Cina.

"Tapi, ini pilihan saya kerana saya pandang pada hala tuju dan prinsip parti untuk tujuan politik, bangsa dan negara.

"Peluang, ruang dan kepercayaan yang diberikan kepada saya, amat dihargai kerana peluang tu amat sukar untuk saya dapatkan,"katanya.

YB Rara mengatakan tugas ini amat sukar pada permulaan kerana beliau perlu mempunyai hati yang keras dan 'kulit yang tebal'.

Digelar pengkhianat Melayu dan perempuan tiada maruah oleh masyarakat, YB Rara terus bangkit untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai prinsip dan tujuan politik yang sebenar.

"Kepada wanita di luar sana, jangan takut sertai politik. Jangan takut nak buat apa saja dalam pelbagai bidang, bukan hanya politik. Kita kena yakin dan tahu apa yang kita perlu buat.

"Walaupun sertai politik, saya rasa macam 'ikan bilis' kecil dan tiada pengalaman. Tapi, lama-kelamaan saya banyak belajar dan ia amat bermakna bagi saya.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengalami banyak perkara perit dalam dunia politik dan siapa sangka akhirnya beliau menjadi Perdana Menteri ke- 10," katanya.

Perbualan penuh Close Up Bicara Petang Buletin FM bersama YB Rara boleh didengari di www.buletinfm.audio serta aplikasi Audio+. Bicara Petang bersama Haiza dan Hanif Miswan pada setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 3 petang hingga jam 7 malam itu boleh diikuti menerusi frekuensi Lembah Klang 101.3FM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 6:20 AM