Zaara Talita


Kuala Lumpur : Zarina Anjoulie akan sentiasa menghormati keluarga bekas tunangnya, Datuk Seri Khazrul Elzey, 45, walaupun konflik antara mereka masih berterusan.

Zarina berkata, dia mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang komen selepas ini bagi menjaga silaturrahim kedua-dua belah keluarga.

"Terima kasih kepada keluarga bekas tunang saya yang sudi datang bertemu saya. Biar apa pun yang terjadi, saya akan sentiasa sayang dan menjaga serta menghormati hubungan kami.

"Satu keluarga saya akan sayang sampai bila-bila. Oleh itu, saya ingin menjaga hubungan antara sesama keluarga. Jadi apa yang berlaku selepas ini, saya memilih untuk tidak memberikan sebarang komen.

"Bagi saya, silaturrahim lebih penting dari mengikutkan hati dan perasaan. Mereka sentiasa melayan saya dengan baik dari dulu sehingga sekarang," tulisnya di media sosial.

Konflik dan persengketaan antara Zarina dan Khazrul masih berterusan dan belum menemui penghujungnya.

Zarina dan Khazrul saling membalas dengan membuat perkongsian membongkar keburukan masing-masing di TikTok sekali gus terus mencuri perhatian warganet.

Terbaru, menerusi hantaran di TikTok, Khazrul mendakwa Zarina seorang penagih dadah jenis sintetik dan suka memukul anak serta beberapa kali dihalau dari rumah kerana sering bergaduh dengan adik-beradik.

Pada masa sama, Khazrul juga mendakwa Zarina juga mempunyai konflik dengan ibunya sendiri.

Zarina juga tidak berdiam diri dan tampil mempertahankan dirinya serta menjawab segala dakwaan yang dilontarkan bekas tunangnya itu menerusi sesi siaran langsung di TikTok.

Dalam perkongsiannya, Zarina berkata, sekiranya benar dia seorang penagih dan kaki pukul, Khazrul perlu menunjukkan bukti kukuh daripada bijak berkata-kata di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 1:18 PM