Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Syarikat produksi Enfiniti (M) Sdn Bhd mengumumkan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) yang sudah tertangguh hampir tiga tahun lalu terpaksa dibatalkan.

Enfiniti dalam satu kenyataan di akaun Instagram miliknya berkata, keputusan itu terpaksa dibuat selepas meniliti segala pilihan yang ada sehingga terpaksa membatalkan pementasan itu.

"Kepada peminat dan penyokong PGL yang kami hargai, selepas meneliti kesemua pilihan yang ada, kami dengan berat hati memaklumkan bahawa PGL yang sudah lama dirancang terpaksa dibatalkan.

"Di kesempatan ini, kami merendah diri memohon maaf atas segala kesulitan dan kekecewaan yang tercetus disebabkan pembatalan ini," kata Enfiniti dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Enfiniti akan akan mengembalikan semula bayaran tiket yang sudah dibeli penonton secara berperingkat.

"Kepada semua pemegang tiket, kami amat menghargai sokongan dan timbang rasa anda. Berikutan pembatalan ini, kami akan mengembalikan bayaran pembelian tiket secara berperingkat bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini.

"Dalam jangka masa 14 hari, anda akan menerima emel daripada kami berhubung butiran dan tindakan lanjut mengenai pemulangan bayaran secara online. Bayaran pemulangan akan dilakukan secara sistematik bersama agensi tiket, justeru, kami mohon anda untuk bersabar sepanjang proses ini berlangsung," katanya.

Dalam masa sama, syarikat produksi itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pemegang tiket yang sabar menanti. 

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang tiket PGL atas kesabaran dan pertimbangan anda pada waktu yang tidak terduga ini. Kami berharap agar anda akan terus menyokong industri seni persembahan," katanya.

Berdasarkan rancangan asal Enfiniti, pementasan PGL di Istana Budaya akan menampilkan muka-muka baharu untuk watak-watak utama menggantikan pelakon asalnya Tiara Jacquelina dan Stephen Rahman-Hughes.

Namun, hasrat pengasasnya, Puan Sri Tiara Jacquelina dan Enfiniti untuk mementaskannya di Istana Budaya yang mengikut jadual asal pada 2020 tidak kesampaian berikutan penularan wabak Covid-19 yang melumpuhkan negara dan seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 8:01 PM