FAZRUL sebagai pentadabbur dalam program MQT 2.0.
FAZRUL sebagai pentadabbur dalam program MQT 2.0.
Zaara Talita


MENEROKA isi kandungan al-Quran dan mengenali kitab suci bagi umat Islam dengan lebih mendalam TV9 membawakan My #QuranTime 2.0 (MQT).

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dan didanai oleh penginfak dan pewakaf melalui Tabung Gerakan Al-Quran.

MQT 2.0 mula disiarkan sejak 5 Februari lalu dan episod yang berikutnya disiarkan setiap hari pada jam 12 tengah hari.

Program berdurasi satu jam ini bersiaran sebanyak 2,114 episod pada tahun ini dengan memaparkan empat segmen iaitu bacaan surah, kisah di sebalik surah, tajwid dan tadabbur.

MQT 2.0 menampilkan ustaz dan qari terkenal antaranya Tuan Haji Fazrul Ismail sebagai pentadabbur, Ustaz Tarmizi Haji Ali sebagai Qari, selain pembabitan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman dan Azlina Mohamed Isa.

Pada mulanya, program ini diperkenalkan untuk mengisi dan meningkatkan semangat rakyat yang tertekan akibat pandemik Covid-19 yang melanda dua tahun lalu membabitkan sesetengah keluarga, saudara-mara, sahabat handai bahkan seluruh dunia.

Pengembaraan ini bakal membawa anda meneroka al-Quran bermula dari surah al-Fatihah hingga juz terakhir.

MQT 2.0 juga adalah suatu usaha bagi membantu umat Islam meningkatkan penghayatan dalam solat dan hafazan.

Sama-sama menyaksikan MQT 2.0 yang akan membawa penonton belajar untuk menghayati al-Quran melalui hafalan dan pemahaman al-Quran melalui tadabbur serta bacaan yang mantap melalui tajwid serta tahsin.

Istimewa kali ini, kajian yang dilakukan YWUI untuk MQT kali ini dilakukan secara lebih mendalam untuk setiap satu pertiga dari 604 halaman al-Quran modul Quran al-Hafiz yang mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Penonton juga boleh menyaksikan siaran ulangan dari episod satu dan episod selanjutnya setiap hari pada jam 4.30 pagi.

Jangan ketinggalan untuk ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial dan layari http://www.xtra.com.my/ untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program TV9.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 6:45 AM