Persembahan Lah Ahmad menyentuh jiwa.
Persembahan Lah Ahmad menyentuh jiwa.
Syafil Syazwan Jefri

 

Petaling Jaya: Penyanyi, Lah Ahmad menitiskan air mata ketika mempersembahkan lagu Di Pintu Syurga di pentas 25 Years Lah Ahmad Live in Concert di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC), malam ini. 

Air matanya tumpah tatkala menyempurnakan segmen penghormatan (tribute) untuk dua sahabat seperjuangannya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dan Allahyarham Adibah Noor.

"Sarah adalah antara sahabat seperjuangan saya yang bersama-sama naik dalam industri. Antara kenangan yang paling saya ingati adalah, ketika dia berkongsi bagaimana suaminya, Shuib menguratnya menggunakan lagu Ayu.

"Adibah Noor atau yang saya panggil Kak Dib pula umpama kakak buat saya. Kami boleh berbual mengenai apa sahaja dan dia adalah antara insan yang baik dan mengambil berat kepada saya. 

"Pemergian insan-insan yang kita kenali ini umpama satu kehilangan, namun mengingatkan kepada kita bahawa setiap makhluk itu adalah milik Allah," katanya. 

Konsert yang dianjurkan bersempena ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam industri muzik tanah air mencatat jumlah 750 penonton untuk malam pertama. 

Selain tampil solo mempersembahkan lagu-lagu popularnya, Lah juga turut bergabung bersama kumpulan nasyid Inteam, menerusi lagu popular mereka, Kasih Kekasih dan Shazzy menerusi lagu Kenapa.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 10:46 PM