Pak Nil jadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab
Pak Nil jadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Ikon pengacaraan Datuk Aznil Nawawi berang dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang menyalahgunakan identiti orang lain sebagai pelaris.

Aznil atau mesra dengan panggilan Pak Nil turut meluahkan kebimbangan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan iklan palsu yang menggunakan gambarnya tanpa izin.

"Penipuan! Anda semua jangan tertipu dengan hantu stokin ini," tulisnya bersama paparan iklan palsu yang menggunakan gambarnya sebagai pelaris.

Menerusi paparan yang sama, pengacara popular itu turut memuat naik gambar sama iaitu foto asal dengan paparan yang sudah melalui proses suntingan.

Pemilik akaun berkenaan menggunakan gambarnya memegang sijil pengiktirafan dalam satu acara dan menyunting foto itu kepada promosi stokin terapi.

Kes membabitkan penyalahgunaan gambar dan nama selebriti bukanlah sesuatu yang asing dalam industri seni tempatan.

Malah, pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan dengan menggunakan helah berkenaan bagi mempromosi atau melariskan produk mereka.

Selain Aznil, antara selebriti yang pernah menjadi mangsa iklan palsu termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozita Che Wan dan Yana Samsudin.

Sementara itu, di ruangan komen ramai rakan selebriti serta pengikut laman sosial menyarankan kepada Aznil untuk menggunakan saluran undang-undang sebagai jalan penyelesaian.

Selain menjadi iktibar, perkongsian itu juga seharusnya dijadikan pengajaran buat peniaga di atas talian untuk tidak sewenang-wenangnya menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 3:38 PM