Ahmad Kassan
Ahmad Kassan
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi berkongsi berita duka mengenai pemergian penari dan koreografer legenda, Ahmad Kassan, pagi tadi.

Aznil berkata, Allahyarham Ahmad Kassan adalah figura kuat dalam program Macam-Macam Aznil yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dulu.

"Saya baru dapat berita perkhabaran duka mengenai pemergian sahabat saya, Allahyarham Ahmad Kassan yang juga antara nadi kuat dalam program Macam-Macam Aznil.

"Beliau dikhabarkan meninggal dunia di Singapura. Saya dah lama tak berhubung dengan dia. Saya cuma dapat perkhabaran mengenai diri dia melalui hantaran dia di Facebook dan Instagram.

"Baru sebentar saya menerima khabar duka bahawa beliau kembali ke rahmatullah," katanya dalam satu hantaran video di Instagram.

Menurut Aznil, Allahyarham adalah seorang sahabat yang sangat rapat dengannya sepanjang mereka membuat rakaman Macam-Macam Aznil.

"Beliau adalah antara tunjang utama kejayaan program itu. Saya rasai kehilangan dia dan semoga pemergiannya akan sama-sama kita dapat sedekahkan bacaan surah Al-Fatihah.

"Semoga Allahyarham dikumpulkan bersama dengan orang orang yang soleh," katanya.

Untuk rekod, Allahyarham terkenal sebagai seorang penari dan koreografer dalam program Macam-Macam Aznil selain pernah terbabit dalam pelbagai program realiti TV dan program hiburan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Difahamkan selepas 30 tahun bermastautin di Malaysia mencari rezeki, Allahyarham dikatakan kembali bekerja di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 12:12 PM