ATIKAH sering memuat naik gambarnya bersama Datuk Lokman. FOTO Instagram Atikah Suhaime
ATIKAH sering memuat naik gambarnya bersama Datuk Lokman. FOTO Instagram Atikah Suhaime
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PELAKON, Nur Atikah Mohd Suhaime, 28, atau Atikah Suhaime mengakui sedang mengenali hati budi seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk Lokman Teh selepas putus tunang dengan penyanyi, Awie Rafael, 33, pada 14 Mac lalu.

Atikah berkata, dia mengenali lelaki terbabit yang juga anak kepada pengasas produk mandian sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, buat masa ini mereka dalam proses mengenali hati budi dan perkenalan itu melalui rakannya.

"Perkenalan kami terlalu singkat iaitu dalam tempoh beberapa bulan. Buat masa ini kami sedang berkawan tambahan pula saya gemar mengenali ramai orang," katanya.

Dalam perkembangan seni, pelakon kelahiran Tampines, Singapura itu berkata, dia sedang menjalani penggambaran drama Tuan Danial bersama pelakon, Idris Khan dan Intan Najuwa.

Katanya, dirinya kini teruja untuk siaran travelog Busana Asia dan drama terbaru lakonannya, Memoir Karmila tidak lama lagi.

"Selain itu saya juga membintangi filem dari Indonesia iaitu My Stupid Boss 2 yang akan menemui penonton di pawagam pada 29 Ogos depan," katanya.

Atikah sebelum ini mengikat tali pertunangan bersama Awie Rafael sebelum hubungan itu putus pada 14 Mac lalu. Mengikut perancangan mereka sepatutnya bernikah pada 17 Mac lalu.

Spekulasi mengatakan Atikah dan Lokman bercinta timbul apabila mereka sering berkongsi foto di lokasi, tarikh dan masa yang sama di Instagram (IG).

Dalam pada itu lelaki terbabit juga dikatakan mengikuti Atikah ketika menjalani penggambaran drama di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 5:48 PM