Pelakon, Fauzi Nawawi dan isteri, Lisdawati Nazaruddin pada Majlis Kesyukuran Ulangtahun Kelahiran ke-44 di Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi. FOTO Azhar Ramli
Pelakon, Fauzi Nawawi dan isteri, Lisdawati Nazaruddin pada Majlis Kesyukuran Ulangtahun Kelahiran ke-44 di Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi. FOTO Azhar Ramli
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Pelakon, Lisdawati bersanding sekali lagi di atas pelamin bersama suaminya yang juga pelakon, Fauzi Nawawi sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-15, tahun ini, semalam.

Lisdawati berkata, dia mahu mengabadikan foto itu kerana kelihatan sempurna dalam keadaan menutup aurat.

"Saya sudah lama merancang untuk mengambil foto baharu. Ketika berkahwin dengan suami 15 tahun lalu, saya masih belum dalam keadaan sempurna (menutup aurat). Jadi saya tak dapat kongsikan.

"Jadi hari ini (semalam), sempena meraikan majlis ulang tahun kelahiran yang ke-44, saya buat sekali majlis persandingan. Apa yang penting saya mahukan gambar perkahwinan sebagai kenangan," katanya.

Menurut Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, ketika perkahwinannya dulu dia memakai persalinan berwarna hijau dan songket kuning sewaktu majlis resepsi.

"Namun, untuk persandingan 'kali kedua' ini, saya memilih busana berwarna biru untuk 'majlis nikah' dan songket putih untuk resepsi.

"Saya buat majlis serba ringkas saja, bukan secara besar-besaran. Detik gambar itu yang penting. Saya buat juga video untuk kenangan cucu dan cicit saya nanti. Jadi, kalau nak guna gambar perkahwinan saya, boleh guna yang terkini," katanya.

Lisdawati mendirikan rumah tangga dengan Fauzi, 50, pada 9 September 2007.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, 14; Nur Aina Fazneesya,13; Ahmad Nur Fyrdaus, 8; dan Ahmad Nur Fayyadh, 3.

Lisdawati juga mempunyai empat anak tiri menerusi perkahwinan terdahulu Fauzi iaitu Nurul Hainil Fatihah, 27; Fareez Hazwan, 25; Nurul Hana Farisya, 23; dan Mohd. Fikri Hakimi, 20.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 11:00 AM