Lisdawati dan suaminya, Fauzi Nawawi.
Lisdawati dan suaminya, Fauzi Nawawi.

Kuala Lumpur: Pelakon, Lisdawati yang juga isteri kepada Fauzi Nawawi memohon orang ramai tidak memanjangkan isu perkongsian Fauzi mengenai babak rogol terhadap Raja Farah dalam filem Anak Halal lakonan mereka pada 2007 lalu.

Lisdawati berkata, semua pihak terbabit sudah memohon maaf dan menyifatkan semua orang tidak lari daripada melakukan kesilapan.

"Semua yang terbabit sudah memohon maaf. Semua kesal dan rasa bersalah. Tak perlu panjangkan isu ini untuk berjemaah keruhkan keadaan.

"Terima kasih atas doa yang baik-baik. Sebagai hamba Allah SWT, semua tak lari dari melakukan kesilapan. Semoga Allah memaafkan dosa kita semua," katanya.

Menerusi hantaran dimuat naik di Instagram, Lisdawati turut berkongsi petikan kata-kata Ibnu Qoyyim RA.

"Setiap maksiat yang dijelek-jelekkan kepada saudaramu, maka hal itu akan kembali kepadamu."

Terdahulu tular video memaparkan Fauzi bercerita mengenai pengalaman babak rogol dalam filem Anak Halal membabitkan dirinya dengan pelakon Raja Farah.

Menerusi video yang tersebar, Fauzi berkata, babak itu bagaimanapun dipotong atas permintaan ibu bapa Raja Farah.

Fauzi kemudiannya tampil memohon maaf secara terbuka terhadap Raja Farah, suami dan keluarga atas perkongsian perkara itu di kaca TV.

Selain Fauzi, Khir Rahman yang juga pengacara program itu turut mengambil pendekatan sama dengan membuat permohonan maaf menerusi hantaran di Instagram.

Selain Fauzi dan Raja Farah, filem Anak Halal yang ditayangkan pada 2007 turut menampilkan lakonan Farid Kamil, Maya Karin, Remy Ishak, Ady Putra, Bront Palarae dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 11:36 AM