Eizlan menyantuni masyarakat setempat. Foto Ihsan Syamsah Photography
Eizlan menyantuni masyarakat setempat. Foto Ihsan Syamsah Photography

Kuala Lumpur: Pelakon yang juga calon kerusi Parlimen Sabak Bernam bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Seri Eizlan Yusof memilih strategi berbeza dalam mendekati dan menyantuni masyarakat setempat.

Eizlan sebaliknya mengambil langkah untuk tidak mengadakan kempen berbentuk ceramah mahupun syarahan politik.

Menurut Eizlan, pendekatan itu adalah perkara pertama yang ingin dilakukannya selepas namanya diumumkan sebagai calon untuk bertanding.

"Sejak nama saya dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Sabak Bernam, perkara pertama yang saya mahu lakukan adalah mengenali hati budi dan mendengar sendiri luahan masyarakat di sini.

"Tambahan pula saya tidak mahu menyusahkan masyarakat terutama pihak berkuasa tempatan yang saya faham bertungkus lumus memastikan proses berkempen sempena PRU15 di sini berjalan lancar.

"Saya akui, saya tak banyak masa untuk berkempen secara besar-besaran seperti mana calon-calon lain yang bertanding tapi saya ada pendekatan saya sendiri," katanya.

Menerusi strategi itu, Eizlan kini mendapat maklumat mengenai permasalahan yang berlaku di sekitar kawasan itu.

"Saya dengar sendiri setiap permasalahan dan isu itu daripada mereka dan mereka berkongsi kepada saya seolah-olah saya sudah bergelar wakil rakyat Sabak Bernam.

"Saya orang yang bekerja dan bukanlah ahli politik. Jika saya menang di sini, saya mahu bawa semua isu yang dibangkitkan oleh masyarakat setempat ke peringkat Parlimen," katanya.

Selain itu, Eizlan juga merancang untuk menubuhkan Jawatan Kuasa Komuniti Parlimen Sabak Bernam yang akan dianggotai oleh penduduk setempat.

Tidak hanya menyantuni golongan dewasa, Eizlan juga turut mendekati golongan remaja dan generasi baharu yang disifatkan sangat rajin melakukan pelbagai aktiviti untuk menaikkan ekonomi.

Eizlan mewakili Gerakan Tanah Air - Parti Pejuang bakal bertanding empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Sahlan, calon Pakatan Harapan (PH), Shamsul Ma'arif Ismail dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Rahman Bakri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 3:35 PM