ALIF membesar dengan lagu Raihan.
ALIF membesar dengan lagu Raihan.
Sudirman Mohd Tahir

KEJAYAAN lagu Sesungguhnya 2019, rakaman semula daripada lagu asal Sesungguhnya memberi nafas baharu pada industri muzik nasyid.

Lagu yang menampilkan kerjasama penyanyi, pelakon dan pengacara popular, Alif Satar bersama penyanyi asal, Raihan tular dan menjadi 'trending' ketika ia dilancarkan.

Malah, ia juga menjadi pencetus kepada beberapa gandingan penyanyi lain seperti Tomok dengan Hijjaz menerusi lagu Sumayyah 2019 dan terbaharu, Khai Bahar bersama Inteam untuk lagu Setanggi Syurga 2020.

Kini, Alif dan Raihan muncul dengan lagu Damba CintaMu yang pernah dirakam Raihan dan dilancarkan pada 1997.

Bagi Alif, kerjasama itu lebih kepada ingin mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak.

"Untuk lagu ketuhanan saya nak kongsikan lagu ketika saya membesar. Saya rasa semua orang membesar dengan nasyid, malah mungkin ada yang pernah masuk pertandingan nasyid. Tapi, saya membesar dengan lagu Raihan dan memberi memori zaman kecil serta impak pada jiwa. Sebab itu saya pilih lagu Raihan.

"Kalau ada rezeki saya nak buat lagu baharu nasyid kerjasama dengan Raihan atau dengan yang lain. Sebelum ini saya pernah juga bekerjasama dengan Inteam menerusi lagu Jangan Menghina tiga tahun lalu.

"Tapi, apabila Inteam cakap dapat idea itu daripada kerjasama saya dengan Raihan, saya berbesar hati. Bukan nak bermegah apabila orang cakap sebab kerjasama saya dan Raihan, ramai buat perkara sama. Sebenarnya saya seronok. Ia seperti, kalau raya kita nak tengok iklan raya. Tapi, Ramadan orang tunggu lagu nasyid apa pula. Itulah yang sebenarnya untuk kita raikan Ramadan dengan amalan dan benda yang boleh ingatkan kita kepada Tuhan," katanya.

Menurut Alif, tujuannya merakamkan semula lagu nasyid adalah untuk berkongsi jiwa lagu ketuhanan kepada masyarakat.

"Kadang-kadang buat lagu kena jujur. Apa mesej nak rakam. Apa sebenarnya misi dan visi lagu itu. Jadi, saya buat lagu Damba CintaMu memang nak kongsikan tak kira kepada semua, sama ada orang tua atau muda. Cuma, apabila dengar lagu ini terbit rasa sesuatu dalam diri.

"Sejujurnya, setiap frasa lirik ini, saya nak nangis masa merakam dan rasa sebak. Apabila dengar yang asal pun, sebak dan sayu saja sebab lirik. Tapi kalau kata paling susah nak rakam adalah pada 'verse' pertama. Ini kerana 'key' agak rendah dan nak capai 'feel'.

"Terdapat sesetengah penyanyi fikir sedap saja, tapi lupa kejujuran dalam lagu itu.

Sekarang saya fikir lain, bukan sedap tapi rasa tak? Apabila saya rakam, penerbit cakap tak cukup nafas dan ada bunyi tak jelas. Tapi sebenarnya itulah kejujuran dalam lirik itu. Jadi, apabila saya rakam lagu ini, saya tak fikir sedap. Saya fikir dia punya 'feel'. Sebab lagu asal Raihan memang cukup luar biasa. Saya tak nak rosakkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Alif mengakui terdapat beberapa projek membabitkan aktiviti seni dan sukan yang terpaksa ditunda akibat pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Sepatutnya saya ada satu projek filem iaitu Bakara yang sepatutnya bermula hujung bulan ini atau awal lepas Aidilfitri. Insya-Allah, selepas PKP boleh mulakan penggambaran.

"Begitu juga dengan beberapa persembahan yang tertunda. Saya dapat rasa perkara ini Januari dan awal Februari.

"Sebab ketika itu banyak persembahan makan malam saya ditangguh. Ini kerana banyak pelanggan dari luar negara yang tidak dapat hadir. Begitu juga dengan komitmen sebagai duta.

"Program Ironman Langkawi belum dapat apa-apa berita lagi. Cuma, saya ada satu projek Ironman tergendala yang saya patut ke Johor Bahru sebab ada perlumbaan di sana. Kiranya sekarang, bahagian seni dan sukan saya pun tergendala juga," katanya.

Selain itu, sepanjang PKP dan Ramadan ini, Alif tidak ketinggalan bersenam.

"Bersenam tak tinggal. Kalau nak kurus dan turunkan peratusan gemuk dalam badan, inilah masanya. Saya bersenam untuk sihatkan badan. Kalau kita bersenam, puasa kita lebih senang dan bertenaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 6:15 AM