FIRDAUS Safwan enggan berterusan sebagai watak tambahan, mahu teroka pelbagai watak dalam lakonan.
FIRDAUS Safwan enggan berterusan sebagai watak tambahan, mahu teroka pelbagai watak dalam lakonan.
Syafil Syazwan Jefri


LANGKAH sebagai pelakon baharu bukanlah mudah memandangkan kehadiran ramai pelakon seangkatan muncul umpama cendawan.

Bagi pelakon baharu, Firdaus Safwan, impiannya sejak sekolah kini mula direalisasikan apabila diberi peluang untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan selepas berjaya mencipta nama dalam dunia peragaan.

Menjadikan Beto Kusyairy, Amerul Affendi dan Zahiril Adzim sebagai sumber inspirasi dalam lakonan, pelakon berusia 24 tahun ini berkongsi langkah beraninya ke dalam dunia lakonan tanah air.

"Saya memulakan langkah sebagai model. Kemudian, perlahan-lahan saya mencuba nasib dalam bidang lakonan kerana saya ingin meneroka cabang seni lain. Sementara masih muda, banyak perkara yang saya nak cuba lakukan dan teroka," katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai kerjaya lakonan, Firdaus yang bertugas sebagai fisioterapi ini pernah mendapat tentangan daripada keluarganya.

"Kalau nak diikutkan, lakonan bukanlah satu kerjaya yang disokong oleh keluarga saya kerana mereka lebih menggalakkan saya untuk tumpukan perhatian kepada kerja sebagai fisioterapi.

"Menurut mereka, lakonan boleh dijadikan kerjaya sambilan. Jadi, sambil-sambil mencuba nasib sebagai pelakon, saya masih bertugas sebagai fisioterapi sejak lebih dua tahun lalu," katanya.

Kini, nama dan wajahnya mula mengisi kaca TV menerusi beberapa drama antaranya Di Sebalik Dia yang sedang ditayangkan.

"Dari segi tawaran lakonan, saya bersyukur kerana diberikan peluang oleh beberapa produksi di samping ruang yang dibuka oleh agensi yang memayungi saya iaitu Aunim Models.

"Mereka banyak membuka peluang kepada saya untuk mencuba nasib dalam dunia peragaan dan lakonan. Sebelum ini, saya pernah menjadi pelakon tambahan," katanya.

Tidak mahu sekadar bergelar pelakon tambahan, Firdaus ingin terus mengorak langkah dengan penuh semangat sebagai pelakon.

"Kalau berbicara mengenai lakonan, menjadi pelakon tambahan itu tidak mencukupi. Saya nak cuba lagi untuk dapatkan watak yang lebih besar di masa akan datang.

"Mengenai watak, saya nak teroka lebih banyak watak sekiranya diberikan peluang. Kalau boleh, saya nak lakonkan watak yang bukan klise, contohnya antagonis atau jahat.

"Saya nak cabar diri saya memandangkan saya ada masalah dengan keyakinan diri," katanya.

Tentu semangatnya akan terus berkobar-kobar dalam bidang lakonan walaupun terpaksa membahagikan waktu antara seni dan kerjaya profesionalnya dalam bidang fisioterapi.

"Insya-Allah, akan ada beberapa karya lagi yang membabitkan saya. Namun, ada juga yang terpaksa saya tolak dengan baik memandangkan jadual kerja saya sebagai fisioterapi agak padat. Namun, saya akan cuba sebaik mungkin untuk susun atur kedua-dua kerjaya saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 6:20 AM