Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Adam Lee memilih tarikh pernikahan hari ini dengan pasangannya Sweet Qismina sempena tarikh lahir Sweet.

Adam, 28, atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee berkata, pemilihan tarikh 24 Oktober sempena dia mengambil alih tanggungjawab menjadi ketua keluarga dalam hidup Sweet.

"Alasan kenapa saya memilih 24 Oktober sebab tarikh ini adalah hari Sweet dilahirkan dan pada hari ini juga saya mengambil tanggungjawab sebagai suami. Besar tanggungjawab saya, tapi Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya," katanya.

Menurut Adam, sepanjang empat tahun mereka bercinta, apa yang diterapkan adalah kejujuran dalam perhubungan.

"Apa yang penting dalam sesebuah perhubungan adalah kena jujur. Jangan sesekali tipu pasangan. Sebagai contoh, kalau saya ada menipu mungkin kami belum sampai tahap ini," katanya.

ADAM Lee selamat diijabkabulkan dengan Sweet Qismina. FOTO Aziah Azmee
ADAM Lee selamat diijabkabulkan dengan Sweet Qismina. FOTO Aziah Azmee

Sementara itu, Sweet, 25, atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi berkata, mereka mengambil masa empat tahun sebelum memutuskan untuk berkahwin kerana mahu menamatkan pengajian.

"Sewaktu kami mula berkenalan, saya masih belajar iaitu di tahun akhir. Mak saya tidak ada masalah untuk kami berkawan, tapi dengan syarat saya kena habiskan belajar.

"Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu perhubungan kami dipermudahkan. Tidak ada istilah 'on off'. Malah, tahun pertama kenal, kami sudah hebahkan di media sosial.

"Mungkin sebab itu ramai mendoakan kami kekal ke jenjang pelamin. Allah makbulkan sampai sekarang," katanya.

Terdahulu, pasangan itu selamat bernikah dengan sekali lafaz di sebuah lokasi acara di Ampang, di sini, jam 10.40 pagi.

Pasangan itu dinikahkan abang pengantin perempuan, Fahed Ashraf Supandi dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan merangkap Imam 1 Masjid Darul Ehsan Taman Tun Abdul Razak, Gombak, Selangor, Mohamad Khairin Hussein.

Pada majlis itu, Sweet menerima mas kahwin RM2,410.97 manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan serta tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Sweet.

Nilai mas kahwin itu adalah simbolik pada tarikh lahir Sweet pada hari ini.

Sweet dan Adam yang juga pelakon drama Bidadari Salju bertunang pada 24 Oktober tahun lalu yang juga tarikh ulang tahun kelahiran Sweet ke-24.

Seterusnya, kedua mempelai bakal diraikan dalam majlis perkahwinan pada 29 Oktober ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 1:53 PM