SWEET berjaya membawakan watak Zulaikha dengan baik.
SWEET berjaya membawakan watak Zulaikha dengan baik.
Ridzuan Abdul Rahman


SEORANG gadis bernama Zulaika (lakonan Sweet Qismina) sering mengalami gangguan mistik sejak usianya menginjak 20 tahun. Ini menjadikan dia seorang yang pesimis dan suka menyendiri.

Izmir (Adam Lee) mengajak Zulaika untuk bertemu bapanya, Ustaz Rahim (Rahim Jailani) seorang pakar dalam ilmu perubatan Islam.

Ustaz Rahim mengatakan Zulaika mempunyai pendamping membuatkan dia segera pulang ke kampung untuk mengetahui kebenaran itu.

Ibunya, Suria (Amyza Adnan) tinggal seorang diri di kampung. Sekian lama hidupnya aman, kini dia kembali diserang gangguan Wangi (Vanidah Imran).

Ini kisah yang ditampilkan menerusi drama seram Malam Zulaikha terbitan Tanah Beris Film Production yang menemui penonton menerusi slot Samarinda TV3 bermula semalam jam 10 malam.

Selain Sweet, Adam, Rahim dan Amyza, drama arahan Shuhaimi Lua Abdullah dengan skrip tulisan Syed Mohamad Taufik Syed Abdul Jalil sebanyak 15 episod ini menampilkan barisan pelakon Maria Farida (Mustika), Ku Fridah (Salbiah) dan Fiza Thomas (Farah) dan ramai lagi.

Shuhaimi berkata, pembikinan drama ini agak sukar memandangkan dia mengguna pakai peralatan yang digunakan untuk menghasilkan filem seram bagi mendapatkan hasil terbaik.

BABAK drama Malam Zulaikha guna pakai peralatan filem seram bagi peroleh hasil terbaik.
BABAK drama Malam Zulaikha guna pakai peralatan filem seram bagi peroleh hasil terbaik.

BABAK cemas dalam Malam Zulaikha.
BABAK cemas dalam Malam Zulaikha.

"Babak di mana Zulaikha diletak atas dahan di atas pokok dan dia jatuh ke bawah disambut oleh Izmir. Kipas besar digunakan untuk menggambarkan kehebatan kemunculan Wangi ketika Suria datang mencari Wangi.

"Saya sanggup keluarkan belanja yang agak besar untuk merealisasikan babak itu. Kalau diikutkan drama biasa saya tak perlu pun nak buat kerana pihak stesen TV tidak pernah mengarahkan saya pun.

"Itu adalah tanggungjawab saya terhadap karya saya sendiri walaupun hanya drama TV. Saya nak penonton berasakan kelainan bila menonton Malam Zulaikha. Ini bukan drama biasa sebaliknya sebuah karya premium," katanya.

Menurutnya, pemilihan pelakon dibuat menerusi perbincangan dengan TV3 dan kata sepakat dicapai untuk menggandingkan pasangan suami isteri, Adam dan Sweet.

"Pada permulaan saya agak risau juga bila mendapati Sweet kurang sihat dan kurang cergas. Menerusi beberapa siri perbincangan dengan ibunya, saya kurangkan sikit babak yang membabitkan saka," katanya.

Terdahulu, Shuhaimi melakar kejayaan tersendiri apabila drama arahannya Aku Yang Kau Gelar Isteri berjaya mendapat tontonan 8.4 juta penonton menerusi slot Samarinda TV3 pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 6:47 AM