SWEET Qismina. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
SWEET Qismina. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Najiy Jefri

PELAKON Sweet Qismina mengakui antara salah satu doa yang dipanjatkan ketika mengerjakan ibadat umrah adalah memohon petunjuk supaya pelakon Adam Lee adalah jodoh yang terbaik.

Sweet berkata, setiap individu menginginkan hubungan yang berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan dan harmoni.

“Sudah tentu banyak doa yang saya pohon ketika di Tanah Suci. Antaranya sudah tentu mengenai jodoh. Saya berdoa Adam adalah lelaki yang terbaik untuk saya.

“Saya juga berdoa supaya jodoh kami kuat dan berharap dialah jejaka yang terbaik untuk saya. Saya juga mengharapkan hubungan yang dibina ini berjalan lancar dan dipercepatkan jodoh antara kami,” katanya.

Menurut Sweet, dia juga bersyukur apabila dapat menunaikan impiannya untuk membawa ibu tercinta menunaikan umrah.

“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Satu pengalaman yang cukup manis apabila dapat menjejakkan kaki ke Makkah dan menunaikan impian ibu yang sudah lama berhajat untuk ke sana.

“Jika diberi kesempatan pada masa mendatang saya nak meluangkan lebih masa di sana. Perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.

TUNAI impian bawa ibu tercinta menunaikan umrah. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
TUNAI impian bawa ibu tercinta menunaikan umrah. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Kehadirannya ke Makkah turut menjawab persoalan ramai mengenai asal usul namanya yang diberikan arwah bapanya ketika menjejakkan kaki di sana.

Mengakui sedikit terasa hati dengan sesetengah pihak yang mempersoalkan mengenai namanya, namun dia ingin tegaskan namanya itu mempunyai maksud tersendiri.

“Orang selalu tanya dan persoalkan nama Sweet Qismina. Kadang-kadang sedikit terasa apabila ada yang memanggil Qistina berbanding Qismina.

“Saya tahu nama saya sedikit pelik tapi adakah kamu tahu nama saya Qismina datangnya dari Tanah Mina?

“Arwah ayah yang letak nama itu. Mama nak nama Qisrina tapi sebab ketika ayah berada di Tanah Mina mungkin disebabkan dia terlalu menyukainya jadi dia letak nama saya Qis’MINA’. Mama tak mahu sebab takut orang ejek panggil Mina, Minachi atau Minah.

“Tapi arwah ayah masih nak letak sebab dia kata Mina tu Tanah Haram, Tanah Suci. Dulu terfikir juga kenapa sebab susah orang nak ingat nama saya hingga ramai yang tersasul. Tapi sekarang saya tak kisah,” katanya.

Terdahulu, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi berangkat ke Makkah bersama keluarganya untuk mengerjakan umrah dan pulang ke tanah air pada 6 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 8:00 AM