Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 100 peminat basikal tua menampilkan kelainan apabila mereka melaungkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW sambil menunggang basikal dalam sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 2021/1443H di sini, tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir, berkata peserta mengayuh basikal sejauh 10 kilometer (km) bermula dari perkarangan Masjid Kariah Taman Panchor Jaya dan berakhir di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, di sini, yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

Peminat basikal tua berkayuh sambil berselawat kepada junjungan Nabi SAW pada sambutan Maulidur Rasul di Paroi, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Peminat basikal tua berkayuh sambil berselawat kepada junjungan Nabi SAW pada sambutan Maulidur Rasul di Paroi, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil

Katanya, program berkenaan julung kali diadakan dalam usaha memberikan kelainan sesuai dengan norma baharu akibat pandemik Covid-19.

"Berbanding sebelum ini aktiviti perarakan berjalan kaki sering dilakukan setiap kali sambutan Maulidur Rasul namun sudah dua tahun kita dapat mengadakan majlis seperti itu susulan pandemik Covid-19.

"Kali ini kita dapat mengadakannya secara ringkas dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan cara menunggang basikal tua sambil berselawat," katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan program dan melakukan pelepasan peserta kayuhan berkenaan di perkarangan Masjid Kariah Panchor Jaya di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Zaidi Ramli dan Presiden Kelab Basikal Tua Seremban (KBTS), Mohd Arif Bidin.

Bakri berharap program itu dapat mengeratkan silaturahim dan membangkitkan kesedaran terhadap perjuangan Rasulullah dalam menegakkan panji-panji Islam.

"Program ini juga diharap dapat membangkitkan rasa kecintaan peserta dan masyarakat keseluruhannya terhadap Nabi SAW dan mencontohi baginda dalam menjalani kehidupan harian," katanya.

Sementara itu, Mohd Arif berkata, peserta yang mengambil bahagian termasuk dari luar negeri ini membabitkan kalangan ahli KBTS, Kelab Basikal Kuala Pilah, Kelab Basikal Kuantan, Kelab Basikal Gadek Melaka dan Kelab Komuniti Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 3:48 PM