(Gambar kiri) Kesan peninggalan Masjid Hudaibiyah. (Gambar kanan) Jabal Thur. FOTO Nasharuddin Muhammad
(Gambar kiri) Kesan peninggalan Masjid Hudaibiyah. (Gambar kanan) Jabal Thur. FOTO Nasharuddin Muhammad
Nasharuddin Muhammad


BERKUNJUNG ke kota suci Makkah memberi kesempatan kepada jemaah menziarahi lokasi menarik lagi bersejarah yang mempunyai hubungan langsung dengan Rasulullah SAW dan perjuangan baginda.

Baru-baru ini, petugas media yang membuat liputan musim haji 1438 Hijrah berpeluang menziarahi beberapa lokasi penuh bersejarah itu sambil diberikan penerangan oleh anggota Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Ustaz Ramli Ibrahim.

Antara lokasi yang dikunjungi di sekitar kota Makkah ialah Jabal atau Bukit Thur, Jabal Nur, Masjid Hudaibiyah dan Masjid Jin selain ditunjukkan kawasan Perkuburan Ma'lak.

Bukit Thur atau Bukit Thursina mempunyai kaitan cukup rapat dengan Rasulullah SAW kerana di situlah lokasi baginda bersembunyi bersama Saidina Abu Bakar As Siddiq bagi mengelak daripada cubaan membunuh baginda oleh golongan kafir Quraisy.

Malah, peristiwa baginda bersembunyi di Jabar Thur juga menjadi pencetus awal penghijrahan baginda dari Makkah ke Madinah seterusnya mengasaskan negara Islam pertama di bumi Madinah.

Justeru, peluang menziarahi bukit berbatu setinggi kira-kira 470 meter dari aras laut itu memang cukup menginsafkan tatkala membayangkan perjuangan dan pengorbanan baginda untuk mengembangkan agama suci ini.

Seperti kata Ustaz Ramli, persembunyian Rasulullah di Jabal Thur bukanlah semata-mata untuk menyelamatkan nyawa baginda, malah lebih daripada itu untuk menyelamatkan risalah Islam.

Peristiwa persembunyian baginda di Jabal Thur seterusnya penghijrahan baginda ke Madinah berlaku pada tahun ke-14 kenabian baginda.

Rancangan membunuh baginda dicadangkan oleh Abu Jahal dalam mesyuwarah yang diadakan dalam kalangan pembesar Quraisy ketika itu yang disokong seorang lelaki tua yang sebenarnya jelmaan iblis.

Pada malam yang dijanjikan, 11 pemuda Quraisy mengepung rumah Rasulullah dan merancang membunuh baginda pada waktu subuh ketika mahu ke masjid.

Bagaimanapun, pada hari berkenaan, Rasulullah berjaya keluar dari rumah bersama Saidina Abu Bakar tanpa disedari pemuda terbabit yang tertidur akibat terlalu mengantuk manakala tempat tidur baginda di rumah itu digantikan oleh Saidina Ali bin Abi Talib.

Berikutan kegagalan rancangan membunuh Rasulullah, maka pembesar Quraisy sanggup menawarkan hadiah 100 unta kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah sama ada hidup atau mati.

Selain Jabal Thur, satu lagi lokasi cukup bersejarah yang perlu dilawati ialah Jabal Nur di mana terletaknya Gua Hira'.

Gua Hira' adalah tempat Rasulullah menerima wahyu pertama daripada Malaikat Jibril ketika baginda berusia 40 tahun dan itulah bermulanya detik kerasulan baginda.

Bukit setinggi kira-kira 642 meter dari aras laut itu boleh didaki yang mengambil masa antara satu hingga dua jam. Lokasi terletaknya Gua Hira' itu betul-betul tepat menghadap ke arah Kaabah di Masjidilharam.

Selain itu, petugas media juga dibawa melawat Masjid Jin yang mengisahkan jin memeluk Islam selepas mendengar lantunan al-Quran daripada Rasulullah ketika berdialog dengan baginda lalu terus memeluk Islam.

Seterusnya, petugas media dibawa melihat kesan peninggalan Masjid Hudaibiyah atau dulunya sebuah masjid tua bernama Masjid Bai'atur Ridhwan yang kini hanya terdapat sisa tiang batu.

Signifikannya lokasi ini ialah di sinilah tempat termeterainya perjanjian penting dalam sirah Islam dinamakan Perjanjian Hudaibiyah antara Rasulullah dengan golongan musyrikin Makkah ketika rombongan baginda dihalang daripada memasuki kota Makkah untuk menunaikan ibadat umrah.

Lokasi terakhir yang ditunjukkan ialah Perkuburan Ma'lak iaitu lokasi yang dikatakan menjadi tempat persemadian isteri pertama Rasulullah, Saidatina Khadijah binti Khuwailid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 2:10 PM