Zulin Aziz pada pelancaran produk keluarannya
Zulin Aziz pada pelancaran produk keluarannya
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Selebriti popular, Zulin Aziz tidak bercadang untuk menoktahkan karier seninya sebagai pelakon walaupun kini sukses sebagai usahawan.

Zulin, 33, ketika ditemui bagaimanapun mengakui mahu memberi tumpuan dan perhatian kepada bidang perniagaan.

"Saya tak nafikan pendapatan daripada bidang perniagaan lebih menguntungkan dan cepat berbanding kerjaya lakonan.

"Tapi saya tidak bermaksud mahu tinggalkan terus bidang lakonan. Mungkin wajah saya kurang muncul di kaca televisyen sebagai pelakon kerana sibuk menguruskan perniagaan.

"Jujur banyak tawaran terpaksa ditolak disebabkan kekangan masa serta fokus saya yang lebih tertumpu kepada perniagaan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk penjagaan wajah, Bebita.

Menurut Zulin, dia juga mengaku menjana pendapatan lumayan apabila membuat 'review' di media sosial berbanding bayaran lakonan.

"Ya saya tak nafikan perkara itu. Pendapatan untuk buat satu 'review' sahaja kadang-kadang melebihi bayaran untuk sebuah telemovie.

"Sebab itulah saya kini memilih naskhah yang betul-betul bagus dan bersesuaian sahaja," katanya kali terakhir muncul di televisyen menerusi drama Penjara Janji terbitan JS Pictures pada Ramadan tahun lalu.

Mengulas mengenai produk terbaharu keluarannya iaitu Bebita, Zulin berkata, dia sudah lama bercita-cita untuk memiliki rangkaian produk penjagaan wajah sendiri.

"Kecantikan begitu dekat dengan diri saya. Menyedari usia saya kian meningkat, sebab itu saya keluarkan produk yang memfokuskan kepada anti penuaan. Ramai orang masih tidak sedar mengenai kepentingan krim tabir suria.

"Alhamdulillah, baru sahaja tiga minggu dilancarkan, kami sudah berjaya meraih jualan lebih daripada RM100,000 walaupun belum membuka jualan kepada ejen dan stokis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 1:18 PM